Gandingan China singkir Aaron-Wooi Yik

Kuala Lumpur: Selepas kekalahan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia seawal pusingan pertama Terbuka Perancis, kini nasib sama pula menimpa beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set kepada gandingan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam tempoh 31 minit.

Ternyata kedudukan ke-37 dalam ranking dunia tidak menjadi penghalang buat Wei Keng-Wang Chang untuk menggungguli set pertama dengan kemenangan bergaya 21-13.



Sudah pasti Aaron-Wooi Yik cuba bangkit pada set kedua, namun setiap langkah yang diambil serba tidak kena dan akhirnya membuka laluan kepada lawan mereka untuk mengambil alih permainan dengan kemenangan 21-14.

Mengikut rekod, ini adalah kekalahan kedua buat Aaron-Wooi Yik kepada gandingan dari China itu selepas mengalami nasib sama ketika saingan suku akhir Masters Malaysia pada Jun lalu yang menyaksikan mereka tewas 21-16, 13-21, 17-21.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie turut berdepan kekecewaan apabila kemaraan mereka disekat oleh pasangan dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati yang mencatat kemenangan 21-14, 21-10.

Selain itu, kemaraan beregu wanita negara yang kini menghuni tangga ke-26 dunia, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien juga terhenti selepas dikecewakan oleh gandingan dari Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance 6-21, 21-13, 21-18.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button