Asas dapatan mahkamah majistret antara alasan rayuan Armin Zaharin


Armin Zaharin Ahmad Zambri

x

BERITA BERKAITAN

50445c3475a2f62c91991ebf7fc947d45e1e9e062224c-small Juruteknik mengaku ugut rogol ibu kenalan, bunuh mangsa
11236e9f52876e4300e94d2e883aed9f5e520bfeade8f-small MAS, AirAsia nafi langgar larangan perkongsian pasaran

13/01/2021 05:30 PM



SHAH ALAM, 13 Jan — Asas dapatan Mahkamah Majistret yang menyabit dan menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Armin Zaharin Ahmad Zambri, kerana mencederakan tangan anaknya menggunakan rotan, antara alasan dalam petisyen rayuan difailkan bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain itu.

Peguam Amir Farid Mohd Nawawi yang mewakili Armin Zaharin, 56, berkata petisyen rayuan itu difailkan secara e-filing di Mahkamah Tinggi di sini, pada 4 Jan lepas.

“Pihak kami memfailkan petisyen rayuan bagi merayu terhadap keseluruhan keputusan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 Sept tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Diminta mengulas mengenai asas rayuan itu, Amir Farid berkata anak guamnya merayu terhadap sabitan sebagaimana dibenarkan di bawah undang-undang untuk membuat rayuan, manakala asas rayuan terhadap hukuman adalah antara lain berkenaan kewajaran hukuman yang dijatuhkan sekiranya anak guamnya tetap didapati bersalah sekalipun.



“Keputusan telah pun dibuat oleh Mahkamah Majistret pada September lalu dan petisyen rayuan ini hanyalah sebagai asas rayuan dalam menjalankan hak perayu yang dijamin undang-undang, dan ia tidak boleh menghalang Mahkamah Tinggi setelah mendengar pihak-pihak pada pendengaran kelak, untuk mengesahkan dapatan terdahulu (Majistret),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar berkata pengurusan kes rayuan itu yang sepatutnya ditetapkan hari ini, digantikan dengan tarikh pengurusan kes baharu pada 23 Mac depan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin Zaharin bersalah, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya, yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, di sini antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Feb 2018.

Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin, ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Armin Zaharin ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 53, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Feb 2018.

Ziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Armin Zaharin, sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan, berumur lingkungan 11 hingga 20 tahun.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker