Arsenal perlu bangkit – Arteta
LONDON: Arsenal perlu segera melupakan kekalahan 2-0 dalam Liga Europa di tangan PSV Eindhoven ketika mereka berdepan jadual padat kata pengurus, Mikel Arteta.
PSV mara ke peringkat kalah mati kejohanan kelas kedua Eropah itu hasil jaringan Joey Veerman dan Luuk De Jong.
Keputusan itu menamatkan permulaan 100 peratus Arsenal dalam Kumpulan A namun mereka sudah mengesahkan tempat di dua kedudukan teratas sebelum kekalahan berkenaan.
Skuad kendalian Arteta akan melalui dua perlawanan di tempat sendiri dalam tujuh hari berikutanya – menentang Nottingham Forest dalam Liga Perdana Ahad ini dan kemudian FC Zurich dalam aksi terakhir Liga Europa pada Khamis.
“Saya sangat kecewa. Ia menamatkan rentetan aksi kami menang banyak perlawanan dan hari ini kekalahan pertama kami (sejak permulaan September) dan kami perlu bangkit,” kata Arteta.
Manchester United yang menang 3-1 di laman sendiri berdepan Arsenal pada 3 September memberikan kekalahan tunggal mereka dalam Liga Perdana setakat musim ini.
“Tahniah kepada PSV – mereka pasukan yang lebih baik hari ini. Kami jauh daripada tahap sebenar dan kami tahu di Eropah, adalah sangat sukar untuk menang,” kata Arteta.
“Kami kecewa malam ini tetapi tidak perlu menyesal. Kami perlu membalas. Pada Ahad kami ada perlawanan yang sangat penting, kemudian kami akan melihat aksi berdepan Zurich.
“Kami perlu menjadi lebih baik berbanding apa ditunjukkan hari ini. Kami tahu apa yang kami cuba lakukan dan menyudahkan sesuatu aksi, cara kami melengkapkannya, ia tidak cukup.”
REUTERS