Mahathir ibarat orang lemas, capai apa sahaja
Semua perbincangan kerjasama GAGAL
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Pengerusi PEJUANG, Tun Mahathir kini ibarat orang lemas yang akan mencapai apa sahaja bagi menyelamatkan dirinya. Bermula dengan perbincangan untuk bersama Pakatan Harapan, kemudian dengan Perikatan Nasional, segalanya nampak ‘kurang menjadi’.
Enggan berputus asa, Mahathir masih mahu terus mencuba ‘membuka’ ruang perbincangan walaupun terpaksa ‘menjilat’ Anwar Ibrahim.
Gabungan parti-parti hak Melayu, Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir Mohamad sedia untuk menjalin kerjasama dengan kedua-dua Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Mahathir berkata rundingan dengan PN sedang berjalan, sementara dia masih menunggu jawapan daripada PH dan pengerusinya Anwar Ibrahim. – Tun Mahathir – 27 Oktober 2022
Mahathir yang menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) berpendapat sekiranya mereka boleh bersama pada PRU15, Barisan Nasional akan dapat dikalahkan sekali lagi seperti PRU14.
GTA yang akan menggunakan logo PEJUANG mensasarkan untuk bertanding 100 kerusi pada Pilihanraya Umum kali ini.
Sebelum ini Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan Mahathir pada PRU15.
“Kita berkongsi tujuan yang sama untuk kalahkan BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional). “Tetapi Pakatan Harapan akan hadapi PRU15 kali ini sebagai gabungan tanpa Mahathir.” – Saifuddin Nasution Ismail – 23 Oktober 2022
Dalam pada itu, Perikatan Nasional juga turut menolak sebarang kerjasama dengan Mahathir (GTA) pada PRU15.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PN akan bergerak dengan komponen yang sedia ada dalam Perikatan Nasional. Perikatan Nasional ditubuhkan dengan kerjasama PAS, Gerakan, STAR dan SAPP bersama PPBM.
“Tak ada langsung perbincangan (dengan GTA), kita putuskan untuk meneruskan atas inisiatif gabungan sedia ada sahaja.
“Bukan tak nak bekerjasama tetapi kita putuskan untuk buat apa yang kita susun sejak awal, masing-masing akan teruskan dengan agenda PN, bukan PN Plus dan sebagainya,” – Muhyiddin Yassin – 27 Oktober 2022
Jelas sekali GTA akan berdepan masalah untuk memenangi kerusi di peringkat Parlimen, malah Langkawi juga turut dikatakan akan hilang dari genggaman Mahathir.
Mahathir bertindak menubuhkan PEJUANG selepas dipecat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas meletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020.