Bercuti lepas pecah rumah

Ampang Jaya: Seorang lelaki sempat bercuti bersama teman wanita di taman tema di Johor Bahru selepas melakukan kegiatan pecah pejabat di daerah ini dan Kajang membabitkan kerugian lebih RM40,000.

Bagaimanapun kegiatan suspek terbongkar selepas polis menahan dia bersama teman wanitanya ketika bermalam di sebuah hotel di Tangkak, Johor kelmarin manakala seorang lagi suspek ditahan di Kajang.

Malah suspek berusia 18 hingga 20 tahun itu menyewa kereta sebagai modus operandi sebelum melakukan kegiatan pecah pejabat di Bandar Melawati dan di Kajang.

Suspek lelaki tidak bekerja sementara wanita terbabit seorang penuntut sebuah kolej swasta ditahan selepas terbabit dalam kegiatan itu.



Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat berkaitan kes pecah pejabat di jalan Bandar Melawati, Melawati Square, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesan dan menahan dua lelaki dan seorang wanita di Kajang Selangor dan Tangkak Johor.

Menurutnya, polis juga membuat rampasan beberapa barang kes yang disyaki bersabit dalam kes yang disiasat dan berjaya selesaikan dua kes iaitu di daerah Ampang Jaya dan Kajang.

“Semakan rekod jenayah lampau dapati suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah tidak dikehendaki dan suspek kedua pula mempunyai sembilan rekod lampau tidak dikehendaki manakala suspek ketiga tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker