Wanita UMNO Kota Raja sahut seruan Noraini

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad memakaikan bib kepada ahli-ahli Jentera Wanita UMNO Bahagian Kota Raja sambil diperhatikan Ketua Wanita UMNO Kota Raja, Suhaila M. Zin (kanan) di Klang, semalam.

 

Oleh Azrin Muhammad

KLANG – Wanita UMNO Kota Raja menyahut seruan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad untuk terus bekerja keras melaksanakan bancian sikap selagi belum ada makluman berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Suhaila M. Zin berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka dengan arahan parti yang mahu Jentera Wanita UMNO mengumpul data pengundi setempat selagi ada peluang.



“Semalam, beliau (Noraini) berpesan agar wanita bahagian di sini teruskan usaha yang telah dijalankan sejak 2018 selagi Parlimen tidak dibubarkan.

“Pesanan itu sebenarnya adalah cabaran kepada kami khususnya melibatkan pertambahan pengundi baharu yang menjadikan jumlah pengundi di Kota Raja mencecah 242,000 orang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Noraini sempat meluangkan masa turun padang ke Kota Raja bagi melancarkan Jentera Wanita UMNO Bahagian, sekali gus melihat sendiri persiapan terkini menghadapi pilihan raya.

Noraini juga sempat memberi penghargaan kepada seluruh warga gerak kerja UMNO Bahagian Kota Raja yang telah bertungkus-lumus menjalankan amanah dan tanggungjawab demi kelangsungan parti.



Dalam masa sama, Suhaila turut memberitahu data terkini yang dikumpulkan pihaknya sangat mencabar memandangkan jumlah pengundi paling banyak adalah dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Katanya, golongan tersebut biasanya sudah mempunyai fikiran yang matang dan UMNO perlu menjalankan tanggungjawab untuk menaik serta mengekalkan keyakinan terhadap mereka.

“Tambah mencabar, kebanyakan pengundi baharu yang berusia 18 tahun juga perlu diberikan perhatian agar tidak termakan hasutan parti lawan.

“Sebelum ini, kajian sikap telah mencapai 60 peratus tetapi kembali menurun apabila mengambil kira jumlah pengundi baharu,” katanya.

Sementara itu, apabila diajukan soalan mengenai perkembangan bancian terkini, Suhaila berkata pihaknya optimis menghadapi PRU-15 kerana rata-rata masyarakat Kota Raja menunjukkan respons positif terhadap UMNO.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker