Peguam kanan persekutuan mengaku tidak bersalah terima rasuah

ALOR SETAR, 7 Julai — Seorang peguam kanan persekutuan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima rasuah pada Mei lepas.

Tertuduh, Lim Cheah Yit, 42, yang bertugas di pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Lim didakwa bersetuju untuk menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 daripada Goh Kim Heong sebagai suatu dorongan untuk mempengaruhi Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang bagi menuduh Chan Eng Leong di mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alor Setar di sini, pada 18 Mei lepas, kira-kira pada 12.43 tengah hari, menurut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.



Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Fairos Danial Mazlan menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sementara menunggu sebutan semula kes memandangkan tertuduh adalah pegawai kerajaan berpangkat tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Ang Chun Pun diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.

Hakim Murtazadi turut menetapkan 19 Ogos sebagai tarikh sebutan semula.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker