Tiada rundingan letak calon PN, biar parti Sarawak jaga Sarawak – Naib Presiden PBB


Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Gambar fail)

09/02/2021 04:52 PM

KUCHING, 9 Feb — Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini menolak kemungkinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat rundingan untuk parti komponen Perikatan Nasional (PN) meletakkan calonnya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN Sarawak ke-12).

Beliau berkata mana-mana parti yang bukan berasal dari Sarawak, sama ada yang berkongsi perjuangan yang seiring dengan GPS di peringkat nasional atau sebaliknya, tidak diperlukan untuk masuk dan bertanding dalam pilihan raya negeri ini.



“Biarkan parti dari Sarawak yang jaga negeri.. sama ada UMNO, Bersatu, PAS, DAP atau PKR… mustahil (boleh masuk ke Sarawak), lihat di negeri-negeri lain sahajalah, tidak perlu datang Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Belia Prihatin di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi yang mendakwa kemungkinan ada ‘rundingan’ antara GPS, yakni pakatan yang dianggotai parti-parti tempatan Sarawak yang mentadbir negeri, dengan PN, satu paparan video tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan bendera PN sedang dicetak dan dikaitkan dengan persiapan untuk PRN Sarawak.

Abdul Karim berkata kandungan video itu tidak mengejutkannya memandangkan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir yang menyebabkan PRN Sarawak perlu diadakan dan semua parti politik sedang membuat persiapan masing-masing.

Berdasarkan Perlembagaan Negeri, PRN12 Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, dan penggal ke-11 DUN Sarawak ini akan tamat pada 6 Jun ini.



Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak berkata beliau pasti banyak parti sudah membuat pelbagai persiapan awal untuk berkempen dalam PRN Sarawak nanti.

Ketika ini sebarang Pilhan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak boleh diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan proklamasi darurat sehingga 1 Okt ini.

Pengisytiharan itu dilihat sebagai langkah dalam usaha memutuskan rangkaian COVID-19 di Malaysia yang kini memasuki gelombang ketiga setelah merekodkan kes harian yang amat tinggi.

MUAT NAIK FOTO TANGAN LELAKI, SUDAH TEMUI PENGGANTI? – INI JAWAB MAWAR KARIM

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker