Halloween berdarah di Seoul

Halloween berdarah di Seoul

Halloween berdarah di Seoul
PRESIDEN Korea Selatan, Yoon Suk-yeol (tengah) melawat lokasi kejadian rempuhan di Itaewon di Seoul, Korea Selatan.-AFP

SEOUL: Korea Selatan berdepan insiden kemalangan terburuk dalam sejarah negara itu apabila lebih 151 orang termasuk 19 warga asing terbunuh dalam tragedi rempuhan ketika menyertai pesta sambutan hari Halloween di Seoul semalam.

Dianggarkan lebih 100,000 pengunjung kebanyakannya remaja berusia 20-an membanjiri di kawasan lorong menuruni bukit yang sempit berhampiran Hotel Hamilton.

Sambutan bertukar tragedi selepas kawasan sempit itu menerima jumlah pengunjung luar biasa menyebabkan orang ramai cedera akibat terjatuh, ditolak dan dipijak.



Kementerian Dalam Negeri mengesahkan lebih 150 orang turut cedera dan pihak berkuasa Seoul menerima lebih 355 laporan orang hilang menjelang pagi tadi.

Sambutan tersebut merupakan acara Halloween pertama di Seoul dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik sekatan ekoran Covid-19 dan penjarakan sosial.

Seorang mangsa yang terselamat berkata, orang ramai yang berpusu-pusu di kawasan itu mula jatuh dan menghempap satu sama lain bagaikan permainan domino.

Mangsa yang terselamat dan dikenali sebagai Kim berkata, mereka terperangkap hampir dua jam sebelum diselamatkan dan berasa sangat terkejut melihat deretan mayat di tepi lorong di kawasan itu.




DISYORKAN UNTUK ANDA :


Pasukan bomba dan penyelamat dilihat memberikan bantuan pernafasan kepada ratusan mangsa yang terperangkap dengan ramai daripada mereka mula menjerit dan menangis ketakutan.

Presiden Yoon Suk-yeol mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh negara hari ini dalam ucapannya di televisyen sambil menegaskan bencana tersebut amat mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, kerajaan akan menyiasat secara menyeluruh punca kejadian dan membuat penambahbaikan asas untuk memastikan kemalangan yang sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Hati saya berat dan sukar untuk menahan kesedihan saya,” katanya ketika melawat lokasi bencana dan mendapatkan maklumat daripada kakitangan kecemasan.



Semua pejabat kerajaan turut diarah mengibarkan bendera separuh tiang.

Agensi berita Yonhap melaporkan seramai 19 warga asing yang terbunuh termasuk mangsa dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway manakala agensi berita Tass Russia mengesahkan dua daripada mangsa adalah warga Russia.

Tragedi itu mendapat perhatian pemimpin-pemimpin yang menzahirkan rasa prihatin dan turut berduka dengan kejadian menyedihkan itu.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


“Kami turut berdukacita bersama rakyat Korea Selatan dan semoga mereka yang cedera cepat sembuh,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dalam satu kenyataan.



Perdana Menteri Britain Rishi Sunak menerusi ciapannya di Twitter menegaskan akan bersama semua rakyat Korea Selatan ketika saat yang sangat menyedihkan ini.

Selain itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Canselor Jerman, Olaf Scholz serta Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau merupakan antara yang terawal memberi ucapan takziah atas kejadian itu.

Insiden rempuhan itu merupakan yang kedua dalam tempoh sebulan di Asia selepas Indonesia berdepan masalah serupa di Stadium Kanjuruhan awal bulan ini.

 



Halloween berdarah di Seoul


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Kehadiran Anwar Ibrahim Di Tambun Tidak Di Senangi Penduduk Tempatan

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button