Pelabur asing kembali jadi pembeli saham tempatan



KUALA LUMPUR: Minggu dagangan singkat susulan cuti umum sempena perayaan Deepavali yang lalu menyaksikan pelabur asing mengubah aliran jualan bersih mereka kepada belian bersih berjumlah RM292.67 juta ke atas saham di Bursa Malaysia.

Menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd, pelabur asing menjadi penjual bersih selama tujuh minggu sebelum berubah kepada pembeli bersih minggu lalu dengan aliran masuk terbesar dicatatkan pada Khamis dengan jumlah RM124.90 juta.

Sementara itu, tiga hari iaitu Selasa, Rabu dan Jumaat menyaksikan aliran masuk masing-masing sebanyak RM51.84 juta, RM82.36 juta dan RM33.57 juta.

“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih daripada pelabur asing minggu lalu adalah perkhidmatan kewangan dengan RM246.2 juta, telekomunikasi dan media sebanyak RM60.8 juta serta produk dan perkhidmatan pengguna pula berjumlah RM37.4 juta,” jelas bank pelaburan itu dalam laporan aliran dana yang dikeluarkan hari ini.



MIDF menambah tiga sektor yang merekodkan aliran keluar bersih adalah perladangan dengan jumlah RM35.40 juta, pembinaan sebanyak RM31.70 juta serta pengangkutan dan logistik mencatatkan RM19.3 juta.

Pelabur institusi tempatan pula sebaliknya berubah menjadi penjual bersih selepas lima minggu membuat belian bersih kerana mereka menjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lalu, sekali gus merekodkan jualan bersih RM195.89 juta, jelasnya.

Menurutnya, aliran keluar paling besar adalah pada Khamis dengan sebanyak RM99.15 juta.

Sementara itu, peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih pada RM96.77 juta kerana mereka menjual bersih selama tiga hari berturut-turut sebelum berubah menjadi pembeli bersih pada Jumaat.



“Jumlah jualan bersih adalah RM36.66 juta pada Selasa, RM62.76 juta pada Rabu dan RM25.75 juta pada Khamis sebelum belian bersih sebanyak RM28.40 juta pada Jumaat,” tambahnya.

Bank pelaburan itu menjelaskan, dana antarabangsa menjadi pembeli bersih selama 25 daripada 43 minggu pada 2022 setakat ini dengan jumlah aliran masuk bersih RM6.03 bilion.

Pelabur institusi tempatan pula adalah penjual bersih selama 30 daripada 43 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih RM8.16 bilion.

Sementara itu, peruncit tempatan menjadi pembeli bersih selama 27 daripada 43 minggu pada 2022 setakat ini dengan jumlah belian bersih RM2.12 bilion.



Menurut MIDF, dari segi penyertaan, berlaku penurunan nilai dagangan harian purata (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 18.96 peratus manakala bagi peruncit dan institusi tempatan, terdapat peningkatan masing-masing sebanyak 8.77 peratus dan 4.81 peratus.

BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker