PM ucap tahniah kepada Pearly-Thinaah



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya mengungguli kejohanan badminton Terbuka Perancis malam tadi.

Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri berkata kejayaan Pearly-Thinaah menamatkan kemarau kejuaraan berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Ismail Sabri berkata kejayaan pasangan beregu itu membuktikan sukan berupaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia, selain menyatukan kaum.

“Ia juga dapat meningkatkan semangat kekitaan yang menjadi asas Keluarga Malaysia. Tahniah! Malaysia Boleh,” katanya.



Pada aksi final di Stade Pierre de Coubertine, Paris, Pearly-Thinaah menumbangkan pilihan keempat yang juga juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15.

Kejayaan itu menjadikan Pearly-Thinaah beregu wanita Malaysia pertama merangkul gelaran Terbuka Perancis dan ia adalah gelaran kedua serta kejayaan terbesar pasangan nombor 11 dunia itu dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac tahun lepas.

Sebelum ini, bekas beregu wanita negara Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul naib juara Terbuka Perancis pada 2008.

BERNAMA





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker