Nasib Zaleha Hamid dapat pembelaan

KUALA LUMPUR: Nasib penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 65, yang kian uzur dan hanya terlantar selepas diserang penyakit angin ahmar mendapat pembelaan.

Keadaan kesihatannya yang semakin merosot mendapat perhatian ramai pihak. Sebelum ini, penyanyi lagu Dangdut Reggae masih boleh berbual dalam sebutan pelat dan sepatah demi sepatah, kini tidak lagi.

Tiada sepatah pun perkataan terkeluar dari mulutnya, dia hanya mampu mengerdipkan mata sebagai tanda isyarat, sejak dua bulan lalu.

Wanita kelahiran Sungai Pinang, Pulau Pinang yang sudah lima dekad bergelar penyanyi diserang penyakit angin ahmar sekembali dari program realiti, Gegar Vaganza musim keenam pada pertengahan Disember lalu.

Pada awal serangan, wajahnya senget sebelah hingga pertuturan menjadi pelat. Kaki dan tangan kanan pula kejang dan tidak bergerak.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi memberitahu, penyanyi dangdut, Melayu Deli dan Hindustan itu sudah lama dalam pemerhatian persatuan.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh merentas negeri sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa, jadi usaha membantunya agak terbatas.

“Perancangan sudah ada, cuma menanti masa yang sesuai menziarahi Zaleha di Johor Bahru. SENIMAN mempunyai 7,000 artis berdaftar untuk diberi perhatian seluruh negara. Nama Zaleha dalam senarai penerima bantuan.

“Kami bukan mahu melengah-lengahkan bantuan, tetapi situasi sekarang jadi penghalang pergerakan. Mengharungi sekatan jalan raya dan merentas negeri menjadi cabaran besar,” katanya kepada BH Online.

Zed berkata, SENIMAN mempunyai dana diagihkan pada fasa pertama dan kedua tempoh PKP.

“Namun, kami tidak lagi mampu menyalurkan bantuan pada fasa seterusnya. SENIMAN ada menerima barangan keperluan daripada Mercy Malaysia untuk diagihkan, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kami tak boleh mengagihkannya sembarangan. Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menekankan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang perlu dipatuhi. Mereka mahukan senarai nama, kad pengenalan dan butiran peribadi setiap penerima bantuan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah sudah menyalurkan bantuan kepada Zaleha menerusi program Tautan Kasih Sumbangan Amal anjurannya.

Biarpun mengetahui persatuan dan banyak individu tampil menghulurkan bantuan, Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2016 dan 2017 itu tetap melaksanakan usaha murni bersama rakan-rakannya.

“Saya tak dapat bergerak ke Johor Bahru melawat Zaleha, tetapi saya cari alternatif lain dengan menggunakan khidmat penghantaran terus kepadanya.

“Selain saluran bantuan barangan asas, saya ada mengirimkan duit belanja menampung keperluannya,” katanya.

Penyanyi lagu Miss Diva itu berkata, biarpun sudah tidak lagi menyandang jawatan Presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia, tetapi dirinya tetap selesa membantu artis dangdut dan veteran.

“Keadaan Zaleha amat uzur. Tubuhnya semakin melidi disebabkan hanya minum susu dan tidak mampu menjamah sebarang makanan.

“Saya sentiasa mendoakan Zaleha sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Sementara itu, pelakon, Betty Banafe bersama sukarelawan Jom Sedekah Banafe Team menziarahi dan menghulur sumbangan kepada Zaleha, hari ini.

“Saya dan keluarga akan cuba meringankan bebanan Zaleha. Saya simpati melihat keadaan yang uzur dan memerlukan penjagaan rapi.

“Saya akan membelikan barangan keperluan dan ubatan buatnya. Minggu depan saya akan menziarahinya lagi, insya-Allah.

“Jika diizinkan Allah, saya nak mengajak rakan artis lain seperti Rahmat Mega dan Ayai Ilusi turut serta,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker