Najib harap rayuan di Mahkamah Rayuan didengar segera

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rayuannya di Mahkamah Rayuan akan didengar segera bagi membersihkan nama beliau.

“Oleh kerana kes ini dalam proses lanjutan di peringkat rayuan, saya tidak akan cakap lebih namun perjuangan ini akan saya terus usahakan. Di peringkat Mahkamah Rayuan, kita akan dapat menghujahkan perkara yang lebih terperinci,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Tinggi di sini selepas prosiding keputusan mahkamah dalam kes membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata cabaran di peringkat rayuan adalah lebih besar namun percaya mereka mempunyai kes yang kukuh.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram pula berkata pihak pendakwaan berpuas hati kerana keadilan berjaya ditegakkan dalam kes ini.

“Keputusan itu sebenarnya adalah satu kemenangan bagi keadilan,” katanya.

Sithambaram juga berkata beliau akan kekal sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi pihak Pejabat Peguam Negara dalam rayuan Najib di Mahkamah Rayuan serta sehingga kes itu selesai di peringkat Mahkamah Persekutuan.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker