Penjelasan Pemberian Diskaun Bil Elektrik Tambahan Kepada Rakyat

YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian diskaun bil elektrik tambahan kepada rakyat di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang akan ditampung secara bersama oleh Kerajaan dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB). Diskaun ini adalah merupakan pelengkap kepada diskaun-diskaun yang telah diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini.

Oleh itu, saya ingin memberi penjelasan lanjut mengenai pemberian diskaun bil elektrik tambahan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat ini supaya ia difahami oleh rakyat.

1. Pemberian diskaun tambahan ini hanya bagi rumah kediaman di Semenanjung Malaysia sahaja.

Kerajaan membuat keputusan untuk memberi diskaun tambahan kepada pemilik-pemilik rumah kediaman di Semenanjung Malaysia sahaja memandangkan pemilik-pemilik rumah kediaman di Sabah dan Sarawak telah menerima diskaun tambahan daripada kerajaan negeri masing-masing. Diskaun tambahan ini akan berkuat kuasa selama 6 bulan bagi penggunaan elektrik bermula April 2020, selaras dengan diskaun-diskaun lain yang diumumkan sebelum ini.)

2. Pemberian diskaun diberi berdasarkan peringkat penggunaan elektrik

Diskaun yang akan diberikan adalah berdasarkan peringkat penggunaan elektrik bulanan setiap rumah kediaman dengan memberi tumpuan kepada rakyat yang membayar bil elektrik bulanan sebanyak RM231.80 ke bawah yang rata-ratanya merupakan rakyat dalam golongan B40 dan M40.

Diskaun tersebut adalah seperti berikut:

(i) diskaun sebanyak 50% akan diberikan kepada rakyat yang membayar bil bulanan sebanyak RM43.60 ke bawah. Sejumlah 3 juta atau 40.1% rumah kediaman dijangka akan menikmati diskaun ini;

(ii) diskaun sebanyak 25% akan diberikan kepada rakyat yang membayar bil elektrik bulanan di antara RM43.70 hingga RM77.00. Sejumlah 1.5 juta atau 19.8% rumah kediaman dijangka akan menikmati diskaun ini;

(iii) diskaun sebanyak 15% akan diberikan kepada rakyat yang membayar bil elektrik bulanan di antara RM77.10 hingga RM231.80. Sejumlah 2.2 juta atau 29.3% rumah kediaman dijangka akan menikmati diskaun ini; dan

(iv) diskaun sebanyak 2% kepada rakyat yang membayar bil elektrik bulanan sebanyak RM231.90 ke atas diteruskan seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Mac 2020. Sejumlah 0.8 juta atau 10.8% rumah kediaman dijangka akan menikmati diskaun ini.

Dengan pemberian diskaun tambahan ini, sebanyak 6.6 juta atau 89.2% rumah kediaman akan menikmati diskaun di antara 15 hingga 50% manakala pemilik-pemilik rumah kediaman yang lain akan menikmati diskaun sebanyak 2%.

Sukacita saya memaklumkan bahawa kos pemberian diskaun bil elektrik ini kepada rumah-rumah kediaman yang berjumlah RM569 juta, iaitu RM530 juta bagi diskaun 15 hingga 50% dan RM39 juta bagi diskaun 2%, akan dibiayai secara bersama melalui dana Kementerian Kewangan, dana Kumpulan Wang Industri Elektrik dan Tenaga Nasional Berhad.

Secara keseluruhannya, kos pemberian diskaun bil elektrik yg telah diumumkan oleh Kerajaan sehingga kini ialah RM1.246 bilion yang ditanggung secara bersama oleh Kerajaan, dana Kumpulan Wang Industri Elektrik dan TNB.

Saya amat berharap agar pemberian diskaun bil elektrik bagi penggunaan elektrik selama 6 bulan bermula pada April 2020 ini, sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan rakyat dalam menghadapi situasi yang mencabar pada masa ini. Pada masa yang sama, saya juga berharap rakyat akan terus menggunakan elektrik secara berhemat supaya dapat mengurangkan lagi jumlah bil elektrik yang perlu dibayar setiap bulan.

Saya faham bahawa ianya tidak akan menyelesaikan 100% masalah yang dihadapi rakyat ketika ini. Namun apa yang dilakukan ini ada tanda keprihatinan kerajaan kepada anda.

YB Dato’ Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah,
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker