Lahirkan bayi dalam tandas, tak tahu mengandung

New York: Seorang wanita di Georgia, Amerika Syarikat yang menyangka dirinya mengalami sakit perut terkejut apabila melahirkan bayi ketika di tandas di kediamannya. Lapor The New York Post.

“Saya melihat ke bawah di dalam (lubang) tandas dan dia (bayi) berada di sana dengan air hingga ke paras telinganya, betul-betul di bawah dagunya, hanya memandang ke arah saya, seolah-olah berkata, ‘adakah kamu akan membawa saya keluar dari sini ibu?'” kata Marla McEntire , 34, menceritakan semula kejadian itu.

McEntire mendakwa tidak mengalami perut ‘membesar’ ketika hamil dalam tempoh sembilan bulan sebelum kelahiran bayinya pada Februari lalu.

“Saya hanya kelihatan (buncit) seperti mungkin memakan burrito bersaiz besar,” katanya.

“Jika anda melihat saiz badan saya dan ia tidak menunjukkan saya mengandung, sungguh menakjubkan bagaimana bayi itu boleh berada di sana dan saya tidak mengetahuinya.”

McEntire pernah mengesyaki dia mungkin hamil apabila tidak datang haid pada Ogos lalu, namun ujian kehamilan menunjukkan keputusan negatif.

“Saya tidak pernah merasakan apa-apa tendangan (bayi), saya tidak pernah merasakan apa-apa,” kata McEntire yang menamakan bayi lelakinya itu sebagai Atlas Cohen McEntire.

Kehamilan McEntire juga tidak dapat dikesan doktor ketika dia ke hospital Januari lalu kerana menyangka sakit perut, hanya sebulan sebelum dia melahirkan anak, pada 27 Februari.

Doktor menyifatkan ketidakselesaan McEntire akibat pundi hempedunya dikeluarkan ketika berusia 23 tahun yang sering menyebabkan dia sembelit.

Bapa McEntire, Kevin, yang dia berkongsi kediaman dengan anaknya itu, berkata, dia baru sahaja pulang daripada percutian empat hari di Pulau Amelia, Florida, sebelum kejadian itu berlaku.

“Setiap 20 minit, saya mendengar anak saya itu mengerang kesakitan. Saya tahu ia adalah kontraksi, tetapi pada masa itu, kami tidak tahu (McEntire bersalin),” kata Kevin.

Apabila mendapat tahu anaknya itu bersalin, Kevin benar-benar terkejut, “Ya tuhan, ini bayi! Saya terperanjat.”

Sebelum menghubungi talian kecemasan 911, Kevin yang panik merampas cucunya keluar dari lubang tandas, membersihkan saluran pernafasan bayi itu supaya dia boleh bernafas.

Ia adalah kerja yang mudah, kata Kevin, kerana bayi itu “cukup bersih apabila dia keluar…kecuali apa yang ada di dalam tandas bersamanya.”

Dalam 20 minit sebelum ambulans tiba, “kami tidak tahu sama ada bayi itu akan mati,” kata McEntire.

Keluarga itu lega apabila doktor mengatakan bayi itu cukup bulan dan sihat, ibu itu juga dalam keadaan sihat.

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker