Pertembungan empat penjuru Parlimen Shah Alam



ISHAM JALIL diiringi keluarga yang hadir memberi sokongan kepada beliau pada Hari Penamaan Calon PRU15 bagi kerusi Parlimen Shah Alam di sini, hari ini.

Oleh Rohana Man

 

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan kewibawaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil sebagai calon kerusi Parlimen P108 Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pakatan Harapan (PH) pula memilih Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Azli Yusof sebagai calon, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Dr. Afif Bahardin.



Selain itu, Gerakan Tanah Air (GTA) menamakan Muhammad Rafique Rashid Ali dari parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai calon.

Kesemua calon adalah muka baharu dan dengan itu, Parlimen Shah Alam bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Kesemua calon segak berpakaian baju Melayu dengan diiringi penyokong parti masing-masing.

Menariknya,selain penyokong dari parti UMNO (Wanita, Puteri dan Pemuda), MIC dan MCA, penamaan calon Isham Jalil turut diiringi ibu dan bapa serta isteri, Zai Munira Abd Rashid dan anak-anak, Sarah Nurlisa serta Adam Johan.



Azli menjadi calon pertama menyerahkan borang penamaan calon pada pukul 9.04 pagi, diikuti Isham Jalil (9.07 pagi), Afif (9.11 pagi) dan Muhammad Rafique (9.16 pagi).

MyTV Online difahamkan, seorang calon Bebas yang dikatakan akan turut bertanding gagal muncul sehingga tempoh penyerahan borang penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi.

Pengumuman rasmi senarai calon tersebut dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Shah Alam, Asmah Mohd Zin di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, pagi tadi.

Proses penamaan calon berjalan lancar walaupun cuaca di luar dewan mendung.



Sebelum ini, kerusi Parlimen Shah Alam dimenangi Pengarah Komunikasi Parti Amanah, Khalid Abdul Samad yang bertanding atas tiket parti PAS pada PRU12 dan PRU13.

Pada PRU14 pula, Khalid mewakili Amanah di bawah PH dan berjaya meraih 55,949 undi menewaskan calon BN dan PAS.

Hari pembuangan undi bagi PRU15 telah diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 19 November ini.

Untuk rekod, jumlah pemilih berdaftar di Selangor bagi PRU15 meningkat sebanyak 1.26 juta pengundi.



Jumlah itu meningkat sebanyak 52.28 peratus dan peningkatan itu berlaku selepas SPR melaksanakan pendaftaran automatik serta Undi-18.

Rekod SPR mendapati keseluruhan pemilih pada PRU15 adalah seramai 3,677,848 berbanding pada PRU14, hanya 2,415,074 pengundi.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker