Klopp teruja lawan semula Real Madrid
Paris: Liverpool berpeluang membalas dendam kekalahan di tangan Real Madrid di final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu apabila kedua-dua pasukan diundi bertemu di pusingan kalah mati, malam tadi.
Sementara itu, perlawanan besar lain menyaksikan Paris Saint-Germain (PSG) akan menentang Bayern Munich iaitu seperti ulangan musim 2020 yang dimenangi kelab Jerman itu.
Liverpool menang lima daripada enam perlawanan kumpulan, tetapi terlepas kedudukan di tangga teratas berikutan tewas 1-4 di tangan Napoli ketika perlawanan di Itali.
Anak buah Jurgen Klopp turut tewas di tangan Real di final UCL 2018 selepas kelab Jerman itu muncul juara kumpulan mengatasi Leipzig.
“Perkara pertama boleh dikatakan mengenai undian ini adalah ini memang UCL sebenar. Ia adalah perlawanan yang tidak perlu diperkatakan lagi dan satu aksi yang membuatkan kita semua teruja,” kata Klopp kepada Liverpoolfc.com.
Perlawanan pertama akan diadakan di Anfield pada 21 Februari manakala aksi timbal balik di Santiago Bernabeu pada 15 Mac.
“Ia adalah dua kelab memiliki sejarah dan tradisi hebat dan sudah pasti perlawanan akan mengujakan dan menarik penonton,” kata Emilio Butragueno, kata bekas pemain Real yang kini bertugas sebagai pengarah perhubungan institusi bagi juara Eropah 14 kali itu.
Berdasarkan prestasi semasa di liga domestik, Real sepatutnya menjadi pilihan apabila anak buah Carlo Ancelotti baru tewas sekali di La Liga manakala Liverpool menduduki tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekalipun menang di Tottenham Hotspur, Ahad lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua kelab itu akan melepaskan pemain utama untuk Piala Dunia di Qatar dan Butragueno sedar banyak perkara boleh berubah dalam tempoh tiga bulan sebelum aksi UCL itu.
“Aksi di Piala Dunia akan menentukan keseluruhan musim ini. Kami akan lihat bagaimana keadaan pemain selepas kembali dari kejohanan itu,” katanya.
PSG terlepas slot juara kumpulan berikutan Benfica menjaringkan lebih banyak gol di tempat lawan walaupun kedua-dua kelab memiliki mata, perbezaan jaringan, gol dijaringkan dan rekod satu lawan satu yang sama.
Ia menyebabkan kelab dimiliki jutawan Qatar itu berdepan undian sukar, setahun selepas disingkirkan di pusingan kalah mata di tangan Real.
Mereka berdepan tugas berat menentang Bayern yang menang semua enam perlawanan peringkat kumpulan sekalipun diundi bersama-sama Barcelona dan Inter Milan.
Final 2020 diadakan secara tertutup di Lisbon berikutan pandemik Covid-19 sebelum Bayern muncul juara dengan kemenangan 1-0.
PSG kemudian membalas dendam pada musim berikutnya apabila menewaskan kelab Bavarian itu di suku akhir.
Seperti PSG, Manchester City tidak pernah menang trofi Eropah itu, tetapi sekali lagi menjadi antara pasukan pilihan pada musim ini.
AFP