Mana janji tembok penghadang banjir ?

Shah Alam: Kekecewaan sukar disembunyikan penduduk Taman Mantap, Seksyen 25 di sini, apabila isu banjir yang membelenggu mereka sejak 2010 masih gagal ditangani.

Lebih mengecewakan penduduk apabila wakil rakyat yang diberi tanggungjawab membela nasib mereka membuat keputusan bertanding di kawasan lain pada Pilihan Raya Umum ke 15 ( PRU-15).

Biro Penerangan Jawatankuasa Penduduk Taman Mantap, Asmawi Zakaria, 49, berkata, sebelum ini penyelesaian dijanjikan kepada penduduk termasuk pembinaan ‘floor wall’ bagi mengatasi aliran air sungai melimpah masuk ke kawasan perumahan mereka.

“Sepatutnya sebagai wakil rakyat mereka menjaga kebajikan dan bukannya memberikan janji tanpa dilaksanakan.

“Solusi dinding konkrit itu diberikan semasa perbincangan pada Mei lalu namun tiada sebarang perkembangan dibuat sehingga kini.

“Penduduk amat kecewa dan berhasrat bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada kali ini dan berharap nasib kami terbela,” katanya semalam.

Taman Mantap berada dalam Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning dimenangi V Ganabatirau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang mana wakil rakyat itu kini bertanding Parlimen Klang pada PRU-15.

Asmawi berkata, sejak 2010 lebih 15 kali banjir berlaku sebelum kemuncaknya pada Disember tahun lalu dan diikuti tujuh lagi banjir pada tahun ini.

“Banjir sebelum ini menyebabkan 75 rumah di taman ini masing-masing kerugian antara RM60,000 hingga RM70,000. Sekarang sudah memasuki monsun (Timur Laut) menyebabkan ramai penduduk gusar,” katanya.

Penduduk, M Bala, 55, dia terpaksa menghabiskan RM70,000 untuk membaikpulih rumah yang rosak teruk pada banjir sebelum ini.

Sementara itu, calon BN Parlimen itu, D Kajendran yang sedang melakukan kempen di lokasi itu memaklumkan isu banjir adalah masalah besar selain keadaan jalan raya bagi warga Parlimen Kota Raja termasuk Taman Sri Muda di sini.

“Saya akan utamakan isu ini sekiranya menang PRU-15. Saya berjanji kepada persatuan penduduk akan membawa perunding dan kertas cadangan berkaitan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker