Taraf akademik Isham Jalil bonus penduduk Shah Alam

POSTER Isham Jalil memaparkan kelayakan akademik beliau mencuri tumpuan penduduk Shah Alam.

 

Oleh Rohana Man



SHAH ALAM : Penduduk Shah Alam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akademik dan status kerjaya tentunya mendambakan seorang pemimpin yang memiliki pendidikan tinggi bagi menjamin keperluan mereka sebagai penduduk bandar raya dapat dipenuhi.

Shah Alam sudah lama memiliki Universiti Teknologi Mara (UiTM), selain Universiti Selangor (Unisel), Management and Science University (MSU) serta Kolej PTPL, sekali gus melengkapkan status bandar raya ini sebagai pusat institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) di Malaysia.

Selain itu, Shah Alam juga menempatkan beberapa pusat pengajian berkaitan industri di Shah Alam seperti Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Kolej CIAST (Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan) dan Kolej ADTEC (Pusat Latihan Teknologi Tinggi).

Kebanyakan pensyarah institusi tersebut sudah lama bermastautin di Shah Alam yang juga dikenali Bandaraya Anggerik, sekali gus setiap undi yang diraih daripada golongan terpelajar itu bakal menentukan tiket kemenangan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



Menyedari kehendak golongan terpelajar berbeza dengan orang kampung atau luar bandar, keputusan kepimpinan tertinggi UMNO meletakkan Isham Jalil yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebagai calon P108 Parlimen Shah Alam tepat sekali.

Dalam usia 46 tahun, Isham Jalil merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kelas Pertama) dari University of Bristol, United Kingdom dan dua ijazah sarjana iaitu Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam bidang kewangan dari Wharton School University of Pennsylvania dan Ijazah Sarjana Dasar Awam dalam bidang Politik, Ekonomi dan Undang-Undang dari Harvard University.

Kedua-dua universiti itu terletak di Amerika Syarikat.

“Saya masuk politik untuk mengubah dan memperbaiki dasar.



Dasar-dasar ini menentukan untung nasib rakyat,” katanya.

Ayat tersebut dan kelulusan akademik yang diperolehinya ada dipaparkan dalam poster pilihan raya beliau dan ini menjadi satu kelebihan kepadanya dalam meraih undi golongan terpelajar.

Dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang dimilikinya, sudah tentu untung dan nasib penduduk Shah Alam lebih terbela dalam meniti zaman ekonomi yang semakin sukar.

Dijangkakan tahun hadapan, negara akan mendepani cabaran inflansi yang tinggi termasuk kejatuhan nilai mata wang Ringgit, sekali gus menjadikan kos kehidupan semakin tinggi.



Harga barang keperluan dan perkhidmatan dijangka semakin meningkat termasuk pinjaman bank melibatkan perumahan yang menyaksikan tahun ini sahaja, sebanyak empat kali Kadar Pinjaman Asas (BLR) terpaksa dinaikkan.

Ini bermakna sebanyak empat kali jumlah ansuran bulanan pinjaman bank untuk rumah bertambah, sekali gus perbelanjaan bulanan seisi keluarga juga meningkat.

Namun peningkatan itu tidak seiring dengan kenaikan upah dan gaji penduduk sehingga mencetuskan masalah kewangan dalam institusi kekeluargaan negara ini.

Justeru, kemunculan seorang pemimpin yang berilmu dalam bidang ekonomi dan kewangan tentunya ditunggu-tunggu penduduk yang mahu kemelut yang membelenggu kehidupan mereka dapat diatasi segera menerusi perancangan dan pelaksanaan dasar yang bakal dibawa Isham Jalil.



Ayuh, jangan teragak-agak untuk memilih calon No. 3 Parlimen Shah Alam pada hari pembuangan undi, 19 November ini.

Kemenangan pemimpin berilmu dan berpengalaman ini bakal memberi bonus kepada penduduk Shah Alam dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button