BN menang,lantik KJ jadi TPM

KHAIRY JAMALUDDIN dicadangkan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional menang PRU15.

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, mencadangkan calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin (KJ) dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, cadangan itu perlu diwar-warkan sekarang memandangkan momentum sokongan anak muda terus meningkat terhadap KJ.



“Jika BN menang, lantiklah KJ sebagai TPM.

“Ini dapat menjamin kemenangan besar BN dalam PRU15,” katanya kepada MyTV Online.

Beliau percaya, jika ini dapat dijanjikan, rakyat Malaysia terutama pengundi muda akan melihat satu jaminan perubahan besar parti UMNO dan BN.

‘Saya melihat bagaimana KJ diterima penduduk Sungai Buloh, seolah-olah kini hanya Sungai Buloh sahaja yang ada pilihan raya.



“Jelas KJ diterima setiap lapisan masyarakat dan kaum. Ini kejayaan luar biasa beliau di setiap kementerian yang ditunjanginya,” ujarnya.

Muhamad Muqharabbin berkata, orang muda kini ingin melihat landskap perubahan politik dalam setiap parti dan kedinamikan yang BN perlu berani tonjolkan adalah memberi ruang kepada pemimpin muda seperti KJ untuk duduk bersama PM dalam Kabinet nanti.

“Saya yakin jika KJ dilantik sebagai TPM, Malaysia akan dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa di peringkat lokal dan antarabangsa.

Selain itu, katanya, kemunculan muka baru yang berwibawa seperti Shahril Hamdan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Dato’ Seri Tengku Zafrul dan Datuk Hasmuni Hasan sebagai calon PRU15 mampu menstabilkan semula ekonomi negara.

“Jangan ditipu lagi dan terpedaya dengan helah dan fitnah Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang tidak jemu menjaja BN dengan Kluster Mahkamah, sedangkan di pihak pemimpin mereka juga, ramai yang masih terpalit dengan kes mahkamah termasuk rasuah dan penipuan,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker