Lewandowski sertai Barcelona hingga 2027

Barcelona: Robert Lewandowski menyertai Barcelona dengan perjanjian 50 juta euro (RM227.87 juta) hingga 2027, kata kelab Sepanyol itu, hari ini.

Barca mengeluarkan kenyataan mengesahkan perpindahan itu tiga hari selepas mengumumkan perjanjian ‘secara prinsipal’ sudah dicapai bagi membolehkan penyerang Poland itu berhijrah ke La Liga.

“Barcelona dan Bayern Munich mencapai persetujuan untuk perpindahan Robert Lewandowski bagi keseluruhan EUR45 juta (RM205.09 juta) + EUR5 juta (RM22.79 juta) dalam pelbagai bayaran,” kata Barca.

“Pemain itu akan menandatangani kontrak bersama kelab untuk tempoh empat tahun. Klausa pembelian semula ditetapkan pada EUR500 juta (RM2.278 bilion),” kata kenyataan itu.

Lewandowski, 33, menyertai rakan sepasukan baharunya di Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan di Miami.

Dia adalah pemain keempat ditandatangani kelab Catalan itu musim panas ini selepas Franck Kessie (AC Milan) dan Andreas Christensen (Chelsea) tiba sebagai ejen bebas manakala Rapinha dibeli dengan nilai 70 juta euro (RM319.02 juta) dari Leeds.

Perjanjian antara Barca dan Bayern menutup terus kontroversi selepas pada hujung Mei lalu, pemain itu berkata, “Sudah pasti cerita saya bersama Bayern sampai ke penghujungnya.”

Bayern hanya menawarkan Lewandowski sambungan kontrak setahun yang akan tamat pada musim panas 2023, namun dia tidak gembira dengan gaji ditawarkan serta tidak sebulu dengan jurulatih, Julian Nagelsmann mengenai pemilihan taktikal.

Dia meninggalkan Bayern selepas lapan tahun dengan menjulang satu trofi Liga Juara-Juara Eropah serta lapan gelaran Bundesliga.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker