Air mata Ronaldo di Qatar

DOHA: Cristiano Ronaldo meninggalkan Piala Dunia dengan tangisan apabila berjalan merentasi terowong dengan impiannya untuk memenangi trofi berprestij itu berkecai.

Maghribi mengejutkan Portugal menerusi kemenangan 1-0 malam tadi dan kegembiraan negara Afrika Utara itu jelas menjadi kesengsaraan buat Ronaldo.

Penyerang berusia 37 tahun itu mungkin tiada lagi peluang untuk menjulang trofi kebanggaan itu dan aksi terakhirnya di Piala Dunia tidak seindah yang disangka apabila dia sekadar turun sebagai pemain gantian.

Meskipun berjaya memecahkan rekod sebagai pemain terbanyak meraih kap antarabangsa dengan 196 penampilan, Ronaldo meninggalkan padang selepas wisel penamat dibunyikan dengan linangan air mata dan mengabaikan pemain Maghribi yang meraikan kejayaan bersama penyokong mereka.

“Kalau ada dua orang yang begitu kecewa, mungkin ia adalah Cristiano Ronaldo dan juga diri saya sendiri,” kata pengendali Portugal, Fernando Santos.

“Sudah pasti kami sedih dan ini akan meninggalkan kesan kepada kami tetapi ini adalah sebahagian daripada bola sepak.”

Ronaldo memenangi Kejuaraan Eropah 2016 bersama Portugal meskipun terpaksa diusung keluar pada aksi final berdepan Perancis dan menyaksikan Eder menjadi wira buat negaranya dengan gol kemenangan.

Piala Dunia terus menjadi impian Ronaldo dan Portugal namun kempen mereka di Qatar kali ini tersekat di tangan Maghribi.

Sekali lagi diletakkan di bangku simpanan, Ronaldo akhirnya dimasukkan selepas mereka ketinggalan menerusi jaringan Youssef En-Nesyri namun Ronaldo bergelut selepas dikawal hebat pertahanan Maghribi.

Dia hanya memiliki satu peluang yang berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Yassine Bounou.

Ketika ditanya sama ada dia menyesal selepas meletakkan Ronaldo hanya di bangku simpanan, Santos menegaskan dia percaya dengan pilihan yang sudah dibuat.

“Tiada rasa kesal kerana saya percaya inilah pasukan yang sudahpun beraksi dengan baik ketika berdepan Switzerland.

“Cristiano adalah pemain yang hebat, dia akan diturunkan apabila saya fikir khidmatnya diperlukan, jadi saya tidak menyesal,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker