Parti memerintah dahului pilhan raya parlimen Kazakhstan

11/01/2021 12:14 PM

NUR SULTAN (Kazakhstan), 11 Jan — Parti pemerintah Kazakhstan menang besar dalam pilihan raya parlimen pada Ahad dengan memperoleh hampir 72 peratus undi, lapor Agensi Anadolu, memetik tinjauan.

Tinjauan oleh Institut Demokrasi menyatakan parti Nur Otan pimpinan bekas Presiden Nursultan Nazarbayev di tempat pertama dengan 72.1 peratus manakala Parti Demokratik Ak Zhol yang mendapat 10.27 peratus di kedudukan kedua dan Parti Rakyat Kazakhstan ketiga dengan 9.54 peratus undi.

Sementara parti The Auyl People’s Democratic Patriotic memperoleh 4.9 peratus undi dan parti Adal 3.25 peratus.

Seramai 20,000 pengundi mengambil bahagian dalam tinjauan itu, kata laporan itu.

Hasil tinjauan Institut Penyelidikan Pendapat Umum Kazakhstan pula, parti Nur Otan memenangi hampir 71.97 peratus undi, Parti Demokratik Ak Zhol dan Parti Rakyat Kazakhstan masing-masing memperoleh 10.18 peratus dan 9.03 peratus manakala Parti The Auyl People’s Democratic Patriotic mendapat 5.75 peratus dan parti Adal 3.07 peratus.

Menurut Anadolu sekitar 12 juta pengundi berdaftar di negara ini mula mengundi pada pukul 7 pagi (0100GMT) waktu tempatan. Warganegara yang tinggal di luar negara turut mengundi pada masa yang sama. Pengundian ditutup pukul 8 malam waktu tempatan (1400GMT).

Berikutan pandemik COVID-19, pengundi di seluruh negara perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan, mengambil suhu badan dan membersihkan tangan sebelum masuk ke pusat mengundi.

Pilihan raya itu dipantau hampir 400 pemerhati dari 30 negara dan 10 organisasi antarabangsa, termasuk delegasi dari Majlis Turki dan Majlis Parlimen Negara-negara Bertutur Bahasa Turki.

Seramai 312 calon bersaing untuk merebut 107 kerusi di parlimen iaitu dari parti Nur Otan yang memerintah, Parti Demokrat Ak Zhol, Parti Patriotik Demokrat Auyl People dan parti Adal.

Parlimen Kazakhstan terdiri Dewan Senat dan Dewan Rakyat.

Menurut keputusan pilihan raya parlimen terakhir pada 2016, kadar keluar mengundi adalah 77.12 peratus, tambahnya.

Kazakhstan adakan pilihan raya pada Januari 2021

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker