Team ‘The Alternative’ kuasai pemilihan Umno

Oleh – Bakhtiar Omar


Team 'The Alternative' kuasai pemilihan Umno

Pemilihan Umno akan datang tampak lebih menggiurkan apabila ‘Broker’ sudah mula mempromosi Team ‘The Alternative’ untuk menguasai Umno.

Dengan menggunakan video imej individu tertentu, ‘Broker’ sudah memulakan propaganda mereka menerusi media sosial bagi memudahkan usaha menjatuhkan kepimpinan Umno sekarang.

Implikasi jangka pendek dan panjang sudah tidak diperdulikan ‘Broker’ asalkan matlamat mereka tercapai.

Dikhabarkan usaha ini turut mendapat tajaan tertentu dari bekas ahli Umno samada yang tidak terpilih sebagai calon pada PRU15 mahupun mereka yang telah disingkirkan dari parti kerana tindakan disiplin.

Misi ‘balas dendam’ ibarat ‘api dalam sekam’ sudah mula menghampiri permukaan, namun pergerakan masih lagi menjalar dalam kalangan ahli Umno.

 

ZAHID, TOK MAT PERLU DISINGKIRKAN BAGI MEMBUKA LALUAN LETAK UMNO DI BAWAH SATU GABUNGAN

Bagi mereka apa sahaja di’halal’kan asal dapat menjatuhkan Zahid dan Mohamad Hasan waima apa cara sekalipun.

Ini kerana dua individu inilah penghalang segala perancangan untuk membawa Umno ke pangkuan sebuah lagi gabungan parti yang berteraskan Melayu.

Natijah dari semua usaha ini, Umno kelihatan berpecah-belah apatah lagi dengan ketiadaan Najib Razak yang banyak menjadi inspirasi untuk kekal tenang.

Bagi ‘Broker’, sudah tiba masanya Umno diambil alih dan mengikut segala percaturan yang diusahakan untuk membentuk sebuah kerajaan Melayu terkuat dengan menggemblengkan 3 parti Melayu paling berpengaruh terhadap pengundi.

Jika dikaji semula usaha ini, ia sebenarnya hanya akan mencipta jurang besar kaum Melayu dengan kaum lain yang terdapat di Malaysia.

Sudah pasti kaum lain akan merasakan kepentingan serta ekonomi mereka tergugat kerana hanya 1 parti besar berasaskan Melayu menguasai segalanya.

Mahukah semua menjadi seperti satu rejim di benua Afrika yang mengasingkan rakyat dengan perbezaan kulit dan bangsa?

Pemikiran yang lebih jauh serta pertimbangan yang lebih kepada rakyat amat diperlukan untuk sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Politik tidak boleh dikuasai hanya satu kaum sebaliknya perkongsian kuasa politik akan banyak memberi manfaat kepada semua kaum.

Jadi kepada perwakilan, Umno telah ditubuhkan cukup lama, perjuangan Umno telah matang dan sepatutnya pemikiran ahli turut matang seiring usia parti.

Pertimbangan yang kritis sangat diperlukan bagi memastikan Umno terus relevan untuk semua kaum dan rakyat di Malaysia.

Sebarang usaha untuk menjadikan Umno sebagai sebuah parti kiasu yang hanya mementingkan satu kaum perlu disanggah dan diketepikan.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker