Nak dapat RM1 pun susah
Bachok: Tidak seperti pasar daerah lain yang terkenal dan mempunyai ramai pengunjung, Pasar Siti Zainab atau lebih dikenali sebagai Pasar Bachok kini sunyi sepi.
Lebih mendukacitakan, pasar di tengah-tengah bandar Bachok ini kian ditenggelami lambakan gerai-gerai tepi jalan dan pasar raya yang semakin bertambah.
Peniaga, Nik Nor Nik Hassan, 50, berkata, daripada puluhan peniaga, kini hanya tinggal 12 yang masih berjual di situ demi kelangsungan hidup.
“Malah, ketiadaan pelanggan lebih teruk selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ada kalanya, nak dapat RM1 pun susah, saya tak pandai pandu kereta, suami pula ada masalah kesihatan, jadi kami terpaksa bertahan berniaga di sini.
“Bila saya kata saya jual di Pasar Bachok, orang kata mereka tak kenal pun Pasar Bachok mana sedangkan ia berdekatan dengan pantai Irama,” katanya ditemui di pasar berkenaan.
Nik Nor berkata, hanya pada 1990-an pasar itu meriah dengan pengunjung namun saban hari, ia semakin dilupakan umpama hidup segan mati tak mahu.
Nik Mohd Azmi Razali, 35, pula mengatakan, situasi perniagaan di situ memang teruk dan berharap pemimpin yang akan memenangi kerusi Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat membantu menghidupkan kembali pasar bersejarah itu.
“Pasar yang berusia lebih 30 tahun ini sewajarnya diberi perhatian kerana menjadi sebahagian nadi ekonomi rakyat Bachok selain tarikan pelancongan sebagaimana pantai Irama.
“Kita nak ada perubahan. Saya sudah berniaga di sini sejak berusia tujuh tahun, biar orang kenal Pasar Bachok,” katanya.
Peniaga santan itu berkata, pasar itu mempunyai blok khas untuk jualan ikan, ayam dan sayuran namun disebabkan ketiadaan pengunjung, hanya satu tempat sahaja diisi peniaga ayam dan selebihnya terbiar kosong.
Peniaga juga berharap, selain membantu mempromosi pasar, peniaga di tepi jalan dibawa masuk berniaga ke pasar berkenaan bagi mempelbagaikan produk jualan dan menjadi tarikan pasar.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zain Yasin berkata, jika aset pelancongan di Bachok diperkasakan, secara automatik Pasar Bachok turut berpotensi menerima kunjungan ramai.
“Sebab itu tumpuan utama kita hendak naik taraf 37 kilometer jalan pantai, apabila lokasi ini menjadi tumpuan ramai, kawasan sekitar seperti Pasar Bachok, perhentian bas berdekatan pantai ini akan turut dikunjungi,” katanya.
Beliau berkata, untuk PRU-15, beliau menumpukan mahu menjadikan Bachok berwajah baru.
METRO