Pakar dari Kanada bantu percepat proses baik pulih

PETALING JAYA: Bantuan pakar dan jurutera daripada pengilang peralatan asal (OEM), syarikat Thales Group Kanada menyertai pasukan jurutera Rapid Rail, akan mempercepatkan proses baik pulih gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menjejaskan 16 stesen dari Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen LRT Ampang Park.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, berdasarkan kemas kini kerja-kerja baik pulih sistem yang dijalankan sehingga jam 10 malam semalam, pihak Rapid Rail sudah menjalankan ujian pergerakan tren LRT Laluan Kelana Jaya di antara Stesen Ampang Park dan Stesen KLCC.

Katanya, ujian itu penting bagi pihak kejuruteraan Rapid Rail bersama pihak pengilang peralatan asal (OEM) LRT dari Toronto, Kanada itu untuk menganalisa log yang dijana ketika ujian dijalankan bagi mengenai pasti kebarangkalian punca bagi analisa selanjutnya.



“Usaha membaik pulih perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya hingga Stesen LRT Ampang Park yang terganggu sejak Sabtu lalu mula menampakkan tanda positif. Ujian pergerakan ke atas 10 tren yang dijalankan di antara Stesen Ampang Park dan Stesen KLCC, semalam berjalan lancar.

“Kita sudah membuat analisa dan penambahbaikan dengan menukar modem punca kuasa tren. Daripada itu, kami sudah membuat percubaan ke atas 10 tren. Pada awalnya ada satu tren yang terpaksa dikawal secara manual, tetapi selepas itu semuanya sudah berjalan lancar. Jadi, ia memberikan tanda positf untuk kembali beroperasi semula,” katanya pada sidang media di Kompleks Rapid Rail, di sini, hari ini.

Mohd Azharuddin berkata, pakar dari Thales Group Kanada yang akan menyertai pasukan jurutera Rapid Rail petang ini bagi menganalisa log yang dijana seterusnya mengenal pasti komponen yang disyaki memberi masalah kepada sistem ATC dapat mempercepatkan proses baik pulih sistem ATC.

Rapid KL memaklumkan penggantungan operasi perkhidmatan LRT di 16 stesen bermula Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park mulai semalam hingga 15 November ini berikutan masalah sistem ATC.



Berikutan itu, kira-kira 200,000 pengguna yang terjejas terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain untuk urusan harian menyebabkan aliran lalu lintas kdi ibu kota agak sesak pada waktu puncak.

“Kita yakin bantuan pakar ini mempercepatkan proses baik pulih sistem ATC. Malah, kita akan buat lebih banyak ujian sebelum LRT laluan Kelana Jaya ini dapat digunakan kembali seperti yang sudah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan empat inisiatif bagi memudahkan pengguna iaitu tambahan sokongan bas perantara, kakitangan sokongan di stesen bagi mengawal pergerakan, tambang percuma kepada penumpang terjejas dan status terkini kerja-kerja penyelenggaraan.

Beliau menjelaskan, pihaknya menerima 20 bas tambahan daripada kerajaan negeri Selangor, iaitu bas SMART Selangor termasuk MARALiner yang digunakan sebagai bas perantara bagi mengangkut penumpang di stesen LRT terjejas.



“Secara keseluruhan, lebih 100 bas perantara disediakan pada hari ini. Setakat ini, keadaan adalah terkawal dan dengan pertambahan perkhidmatan bas perantara, purata masa menunggu bagi perkhidmatan bas perantara adalah lima minit.

“Seramai 80 orang daripada kalangan warga Prasarana ditempatkan di setiap stesen untuk membantu penumpang dari segi memberi panduan untuk menaiki bas perantara,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button