Pelaburan ’emas’ Ananth dalam AFC Wimbledon

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Esukan Malaysia (MESF) dan perintis komuniti Esukan di Asia Tenggara, Datuk Ananth S Nathan, telah melaksanakan pelaburan utama tahun ini dalam Kelab Liga Perdana Inggeris Wimbledon FC, yang pada 2002 telah dibangkitkan semula sebagai AFC Wimbledon.

Pelaburan dalam jumlah yang besar itu meletakkan beliau sebagai pemegang saham individu kedua terbesar AFC Wimbledon, dan salah seorang daripada sebilangan kecil pelabur dan pemilik dari Asia yang terpilih di dalam kelab bola sepak Eropah.

Satu aspek yang sangat unik dalam perkembangan ini adalah Ananth sendiri tidak pernah melihat pasukan AFC Wimbledon bermain secara langsung.



Pada 2002, dalam satu keputusan yang dianggap kontroversi diambil oleh Suruhanjaya Persatuan Bola Sepak, Wimbledon FC atau lebih dikenali sebagai ‘Dons’ telah dijauhkan daripada komunitinya, yang mana menyaksikan lokasi kelab dipindahkan 70 batu dari ‘rumahnya’, dan diletakkan semula di bawah nama dan pemilikan baharu.

Peristiwa yang mendukacitakan peminatnya ini mengakibatkan mereka mewujudkan kempen untuk melancarkan semula kelab berkenaan sebagai AFC Wimbeldon, yang mana bertujuan mengekalkan legasi cemerlang pasukan itu.

Keghairahan yang sama juga ditunjukkan semasa kempen mengumpul dana berjuta-juta pound untuk membina semula stadium tuan rumah Plough Lane, dengan kelab itu bermain perlawanan pertamanya di stadium baharu ditambah baik itu pada November 2020.

Ananth ketika ditemui berkongsi bahawa beliau merasakan perjalanannya hidupnya kian bergema dengan kisah perjuangan dan kejayaan AFC Wimbledon, membentuk ikatan segera dengan semangat dan ketabahan bersama kelab bola sepak itu.



Katanya, beliau telah menjadi penyokong komited perjalanan AFC Wimbledon, yang mana diharapkan dapat dikembangkan menerusi perkongsian komuniti bola sepak global di Asia dan seterusnya.

“Pada 2010, saya melalui kesukaran dalam kehidupan peribadi dan profesional saya. Dengan sokongan keluarga dan kawan rapat, saya tabah. Seperti burung cenderawasih, hidup saya bangkit daripada abu dan saya memulakan lonjakan trajektori,” katanya.

Ananth berkata beliau percaya kisah AFC Wimbledon akan bergema di Malaysia dan seluruh Asia. “Semangat komuniti yang kuat terhadap kebangkitan semula kelab adalah pemangkin penting pelaburan ini. Ia tidak pernah terlintas di fikiran saya yang ia sebagai pelaburan, saya melakukannya kerana saya suka bola sepak dan sejarah romantika kelab berkenaan.

“Apabila saya berjalan melalui muzium di sini di Plough Lane, bulu roma saya berdiri. Itulah kesan yang ingin saya wujudkan di Malaysia. Jadi, apabila peluang datang, saya perlu meletakkan nama saya,” sambungnya.



Walaupun dari sejarahnya, ia berdepan pelbagai kesukaran, namun AFC Wimbledon tidak asing lagi dengan kejayaan. Kelab itu kini memegang rekod untuk perlawanan liga tanpa kalah paling lama dalam liga bola sepak senior Inggeris, dengan 78 perlawanan tanpa kalah berturut-turut, serta menjadi juara Piala FA pada 1988 setelah menewaskan Liverpool 1-0 di Wembley.

Melalui pelaburannya itu, Ananth turut mengambil alih peranan baharu sebagai Presiden Antarabangsa untuk AFC Wimbledon.

Cita-citanya adalah untuk menggabungkan perspektif Asia yang unik dan hubungannya, dan pengalaman Esukan yang luas untuk membina legasi luar biasa dan asas peminat kelab itu yang bersemangat ‘Don’.

Dalam jangka panjang, terdapat rancangan berani Ananth untuk membuat Dons bermain menentang pasukan kebangsaan Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan negara lain di rantau ini, serta membangunkan Akademi Wimbledon di Asia untuk membantu membina kepakaran dan pengalaman pemain merentasi kelab dan pasukan kebangsaan.



Ananth juga bercadang untuk membina sebuah rumah kelab tempatan di mana orang ramai boleh menonton permainan secara langsung bersama-sama.

Di sebalik asas tradisi pengalaman perlawanan kelab itu yang dikongsinya, Ananth juga mempunyai visi memajukan lagi stadium Plough Lane yang terkenal sebagai lokasi terkemuka Esukan, yang berpotensi menjana pertumbuhan besar industri inovatif berkenaan.

“Saya ingin melihat bagaimana kita boleh menambah nilai dengan Bahagian Esukan Wimbledon. Menurut laporan, pasaran permainan global bernilai AS$173 bilion pada 2021, dan dijangka mencecah AS$314 bilion menjelang 2027. Itu adalah sesuatu yang perlu kita lihat dan memanfaatkannya,” katanya.

Pelaburan yang diinspirasikan Ananth juga menyaksikan beliau mengambil pegangan yang besar dalam AFCW Plc iaitu syarikat induk kepada AFC Wimbledon Ltd, AFCW Stadium Ltd, AFC Wimbledon Women dan The Wider Interests of Football Ltd.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button