Rani Kulup tolak tawaran parti lain

Port Dickson: Calon Bebas Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah mendakwa menerima beberapa tawaran sebelum ini bagi mewakili parti besar lain untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Beliau yang terkenal dengan panggilan ‘Ayah’ menolak semua tawaran berkenaan kerana tidak mahu terikat dengan peraturan parti, sekali gus membolehkannya bergerak dengan lebih selesa atas tiket Bebas.

“Kalau ada parti, ayah terpaksa mengikut arahan dan tidak boleh berbuat ikut kehendak ayah malah terkongkong dengan disiplin parti, ini pasti menyukarkan.



“Bertanding sendiri ini memang agak sukar sedikit kerana memerlukan belanja yang banyak termasuk jentera kerja, kenderaan terutama bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain berjumpa seramai mungkin pengundi tetapi ayah bebas,” katanya ketika ditemui ketika berkempen di Bukit Pelandok, Chuah, di sini.

Katanya, hasrat untuk bertanding sudah lama iaitu sebelum PRU-14 lagi, tetapi baru sekarang berpeluang menjadi calon.

Abdul Rani berkata, dia akan terus berusaha dan bergerak di seluruh Parlimen Port Dickson agar pengundi tahu dia benar-benar ikhlas berjuang.

“Sebagai bekas anggota tentera, ayah bukan sahaja memperjuangkan nasib veteran tentera tetapi semua rakyat yang berada di Port Dickson.



“Ayah tahu cabaran bukan mudah tetapi tidak ada yang mustahil cuma ayah mahu rakyat di Port Dickson sedar yang ayah benar-benar serius untuk menang seterusnya berbakti kepada negara,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button