Sejak mula mengundi pilih logo kapal layar, tidak pernah tukar parti

MASJID TANAH – Ada pengundi di kawasan Parlimen Masjid Tanah tetap terus setia memilih Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya kerana sudah yakin sebulat hati dengan parti yang sentiasa mementingkan rakyat itu.

Seorang pengundi setia BN, Abdul Majid Ali, 67 tahun, dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata beliau tetap setia memilih BN sejak kali pertama boleh mula mengundi ketika BN dikenali sebagai parti Perikatan menggunakan lambang kapal layar.

Beliau hadir hari ini dalam program Perjumpaan dengan jentera BN Parlimen Masjid Tanah bersama dengan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kampung Pulau, Masjid Tanah.

Dengan hanya mengenakan kemeja putih dan seluar gelap beliau datang ke majlis berkenaan untuk menyaksikan dan mendengar ucapan yang disampaikan oleh Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.

Menurutnya, beliau yang sudah mula bercampur dengan UMNO sejak mula dulu tidak pernah bertukar parti.

Abdul Majid Ali dari Tanjung Bidara.

“Kalau Barisan Nasional (BN) menang saya rasa bangga, saya pun bercampur dengan UMNO sudah lama daripada mula sampai sekarang saya tak pernah berubah parti, dulu zaman itu saya kapal layar.

“Saya mengundi zaman kapal layar,” katanya ketika ditemui My TV Online selepas program berkenaan.

Bercakap mengenai apa yang diharapkan dapat diterima selepas BN menang melalui calonnya Abdul Hakim Abdul Wahid, Abdul Majid berkata beliau berharap calon berkenaan akan melaksanakan semua permintaan rakyat.

“Pada saya, saya memerlukan kerana saya orang susah dan lagi pun saya orang OKU cacat sebelah mata tetapi apa yang kerajaan sudah bantu ni, Alhamdulillah,” katanya.

Aini Ripin dari Masjid Tanah.

Sementara itu, bagi Aini Ripin, 65 tahun, dari Masjid Tanah dalam nada ceria berkata beliau berasa amat gembira sekiranya BN menang nanti ketika hari mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 19 November nanti.

“Makcik sudah 65 tahun umur, memang dulu sekarang tetap BN,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Abdul Hakim.

Dalam ucapan Ahmad Zahid, beliau sudah memberitahu Ketua Menteri supaya bawa lebih banyak pembangunan di Masjid Tanah.

“Buat highway dari Alor Gajah ke Masjid Tanah, buat highway dari Masjid Tanah ke Bagan Datuk,” kata Ahmad Zahid.

Selain itu, Ahmad Zahid meminta pengundi memberikan sokongan kepada BN kerana kerajaan negeri bercadang memajukan kawasan perindustrian baharu seluas 5,000 hektar, di kawasan itu.

Selain itu, kerajaan negeri juga bercadang membina jambatan dan terowong dasar laut menghubungkan Semenanjung dengan Sumatera dengan kawasan utamanya ialah Telok Gong, di sini dan Dumai di Indonesia, katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker