Mastura turun padang iring Isham di Shah Alam

ISHAM JALIL (tengah) bersama Datuk Mastura Mohd Yazid (kanan) berbual mesra dengan pengunjung Taman Tasik Shah Alam semalam.

Oleh Rohana Man

 

SHAH ALAM – Penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid sanggup datang dari jauh untuk memberi sokongan kepada Isham Jalil yang sedang rancak berkempen sekarang.

Beliau yang tidak tersenarai sebagai calon mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat bersama calon Barisan Nasional (BN) P108 Parlimen Shah Alam sedang melakukan Taichi bersama warga Bandar Raya Anggerik di Laman Taichi Taman Tasik Shah Alam, semalam.



Isham Jalil dalam live Facebooknya memperkenalkan Mastura kepada pengunjung taman tasik sebagai ibu mertua Mira Filzah yang merupakan seorang pelakon, model dan usahawan wanita.

Kehadiran Mastura menunjukkan jiwa besar Wanita UMNO yang mengenepikan kepentingan diri demi memastikan kejayaan parti dalam PRU15.

Isham Jalil dalam satu hantaran di Facebooknya menulis, sekali sekala kita luangkan masa beriadah di Tasik Shah Alam bagi meningkatkan kecergasan diri.

“Tasik Shah Alam memang terkenal sebagai tempat riadah sejak dahulu lagi. Jika hujung minggu, sudah pasti ramai yang datang ke tasik ini.



“Terima kasih kepada Komuniti Taichi di Tasik Shah Alam, sudi menerima kunjungan saya,” tulisnya.

Taichi adalah salah satu daripada tiga jenis utama kungfu aliran lembut iaitu pergerakan yang lembut dan menggunakan kekuatan tenaga dalam.

Dalam pada itu, kehadiran Mastura yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Tugas-tugas Khas (2020-kini) turut diiringi Ketua Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Jumaeah Masdi.

Dalam satu hantaran Facebook, Jumaeah menulis, beliau berasa terharu kerana Mastura dapat hadir ke Shah Alam bagi membantu calon berkempen.

Selain itu, mantan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Johari Shaari dalam hantaran Facebooknya juga menulis kesempatan itu digunakan Isham Jalil untuk memperkenalkan dirinya sebagai calon MP (Member of Parliament) BN Parlimen Shah Alam kepada pengunjung taman tasik tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker