TNB tidak boleh leka

PASUKAN TNB menjulang Piala TNB 2022 selepas menewaskan THT, 3-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Selepas menamatkan kemarau merangkul kejuaraan Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB), pasukan TNB tidak mahu terus dibuai mimpi indah.

Mereka kini akan melakukan persiapan lebih awal untuk merampas gelaran juara Liga Hoki Malaysia (MHL), tahun depan.

TNB menamatkan kemarau kejuaraan apabila menang 3-2 ke atas juara liga musim ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, beliau percaya kejayaan itu satu permulaan baik untuk TNB yang sudah lama dahagakan gelaran juara.



“Berdasarkan KPI (petunjuk prestasi utama) kami sudah berjaya mencapainya dengan meraih satu trofi.

“Walaupun gagal muncul juara liga, tapi berdasarkan apa yang dipamerkan pemain dan prestasi kami sepanjang liga, kami sepatutnya muncul juara.

“Kami menjaringkan lebih 70 gol dan pasukan mempamerkan aksi konsisten. Tapi kami gagal bermain dengan baik di Terengganu yang menyaksikan tewas dengan perbezaan satu gol.

“Apapun kejayaan ini sudah pasti menyuntik semangat pemain dalam membuat persediaan musim depan. Kami akan bersedia lebih awal dan memperbaiki kelemahan,” katanya.

Pada aksi malam tadi, TNB mendahului dua gol menerusi jaringan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Shahril Saabah apabila masing-masing menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-18 dan 39.

Bagaimanapun, THT kembali bangkit menyumbat dua gol jaringan padang Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Ismail Abu pada minit ke-49 dan ke-50 perlawanan, bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Tidak mahu mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti, TNB merobek gol THT di saat akhir hasil jaringan padang Muhammad Amirul Hamizan Azhar pada minit ke-60, untuk mencatat kemenangan 3-2, sekali gus muncul juara Piala TNB.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker