Sainz sedia buktikan Ferrari silap langkah

Oleh – Syeikh Baran


Sainz sedia buktikan Ferrari silap langkah
SAINZ berhasrat untuk memburu penamat terbaik musim ini bersama Ferrari yang menjadi musim terakhir bersama pasukan itu. – AFP

Carlos Sainz sedia membuktikan Ferrari membuat keputusan yang merugikan apabila tidak menyambung kontraknya bersama pasukan itu sebaik sahaja saingan Formula Satu (F1) musim ini berakhir.

Pelumba Sepanyol itu tidak akan memiliki pasukan pada saingan 2025 nanti selepas Ferrari mengambil keputusan untuk membawa masuk juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton yang bakal meninggalkan Mercedes.

Sainz berkata, dia menerima sepenuhnya keputusan Ferrari untuk tidak menyambung kontrak, namun sedia membuktikan sesuatu dengan memburu takhta kejuaraan dunia pada saingan musim ini.

“Memandangkan saya berada dalam pasukan, saya sudah tahu perkara ini sebelum anda dan memang sudah bersedia. Bagi saya, ini adalah perkara biasa apabila seseorang pelumba tahu bahawa ia merupakan musim terakhir bersama pasukan.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja saingan musim ini bermula, saya akan cuba ‘pergi’ selaju mungkin. Sekiranya ada peluang merebut kejuaraan dunia, saya tidak akan sia-siakan peluang tersebut,” katanya.

Meskipun dikatakan sudah ada beberapa pasukan seperti Mercedes, Red Bull, Audi dan Williams berminat mendapatkan khidmatnya, namun Sainz hanya mahu memberikan sepenuh fokus terhadap aksi musim ini.

“Fikiran saya sekarang hanyalah kepada Ferrari dan kejuaraan dunia musim ini. Saya adalah seorang pelumba yang sentiasa tampil lebih kuat setiap tahun, jadi saya sangat bermotivasi ketika ini,” ujar Sainz. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker