Dua gol Heung-min lonjak Spurs

London: Antonio Conte berkata Tottenham berjaya mengelak ditimpa ‘malapetaka’ selepas Son Heung-min meledak dua gol ketika meraih kemenangan 3-2 ke atas Eintracht Frankfurt untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Skuad bimbingan Conte ketinggalan menerusi jaringan awal Daichi Kamada di Stadium Tottenham Hotspur.

Bagaimanapun Heung-min menyamakan kedudukan dengan penyudah cantik dan Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti sekali gus gol pertamanya dalam Liga Juara-Juara musim ini.

Tendangan voli Heung-min pada minit ke-36 kemudian meletakkan Tottenham di depan sebelum tamat separuh masa pertama.



Faride Alidou mengurangkan defisit dengan menjaringkan gol minit ke-87 pada peringkat penutup dan Kane terlepas sepakan penalti namun Tottenham kekal bertahan sekali gus melegakan Conte.

“Kami bermula dengan cara yang sangat sukar apabila melepaskan gol pertama. Kami terpaksa menangani situasi itu.

“Kami menjaringkan gol yang bagus. Kami bekerja keras sepanjang minggu untuk cuba mempunyai kombinasi yang baik antara penyerang kami. Hari ini mereka membuktikannya,” kata Conte.

Dengan baki dua perlawanan menentang Sporting Lisbon dan Marseille, Tottenham menduduki tangga teratas Kumpulan D dengan tujuh mata selepas meraih kemenangan kedua mereka pada kempen kali ini.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker