Mengaku terima rasuah, pembantu penguatkuasa JPJ didenda

 

Oleh Pena Merah

Mengaku terima rasuah, pembantu penguatkuasa JPJ didenda
Pembantu penguat kuasa JPJ, Mahasan Nordin (kanan) di Mahkamah Khas Rasuah Tawau hari ini.

Seorang pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah tiga tahun lalu.

Mahasan Nordin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan alternatif dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Tertuduh pada 8 Februari tahun lalu itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1), akta yang sama.

Bagaimanapun, mengikut pertuduhan alternatif hari ini, Mahasan yang bertugas di Unit Sitaan, JPJ Cawangan Lahad Datu, didakwa secara rasuah menerima wang tunai sebanyak RM1,200 daripada seorang lelaki berusia 45 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan lori syarikat Sumbermas Trading milik lelaki terbabit yang disita kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat JPJ Cawangan Lahad Datu, jam 4.00 petang pada 28 Februari 2020.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom, memohon hukuman setimpal keatas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam selain perbuatan tertuduh yang tidak amanah dan mengambil kesempatan serta mencemar nama baik JPJ.

Katanya, kesalahan dilakukan tertuduh kerap berlaku di kalangan penjawat awam dan hukuman setimpal diharap dapat menjadi pengajaran kepada penjawat awam yang lain.

Bagaimanapun peguam Adward Paul yang mewakili tertuduh dalam mitigasinya memohon denda minimum memandangkan ia kesalahan pertama anak guamnya selain pengakuan bersalah menjimatkan kos dan masa mahkamah.

Selain itu, katanya, sejak didakwa anak guamnya menghadapi masalah kewangan kerana ditahan tugas dan hanya menerima separuh gaji serta tidak dapat menampung keperluan dan perbelanjaan harian termasuk menjaga kedua ibu bapa sejak didakwa di Mahkamah.

“Malah tertuduh juga berdepan tindakan surat tuntutan dari pihak bank atas pinjaman peribadi yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh didenda sebanyak RM2,000 dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker