Ringgit mengukuh kepada RM4.62 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit naik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Jumaat, melonjak 1.59 peratus berbanding mata wang AS itu kerana inflasi AS yang lebih lemah dan kelonggaran sekatan perjalanan China menyokong mata wang tempatan.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.6200/6250 berbanding dolar AS daripada 4.6950/6990 pada akhir dagangan semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata kenaikan ringgit akan kekal sekiranya China tidak melaksanakan sekatan perjalanan untuk menangani peningkatan kes COVID-19 di sana.

“Petunjuk awal sangat menggalakkan, China mengurangkan masa kuarantin kepada pelancong, petunjuk penting yang menunjukkan perbezaan pendekatan dalam menangani pandemik.



“Pelabur semakin sensitif terhadap berita pembukaan semula (di China) daripada penutupan, jadi harap ia kekal dan ada ruang untuk memperhalusi cara lebih baik untuk menangani pandemik di China,” katanya kepada Bernama.

Harga pengguna AS turun pada Oktober dengan indeks harga pengguna merosot kepada 7.7 peratus berbanding 8.0 peratus yang dijangkakan oleh pakar ekonomi sebelum ini. Bagaimanapun, kadar inflasi kekal pada paras tertinggi.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3527/3568 daripada 3.3459/3490 pada Khamis dan turun berbanding yen kepada 3.3047/3088 daripada 3.2048/2077.



Unit tempatan merosot berbanding euro kepada 4.7471/7522 daripada 4.6781/6821 semalam dan berkurangan berbanding pound kepada 5.4322/4381 daripada 5.3387/3432 sebelumnya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker