Anak muda balik mengundi

ISHAM JALIL (tengah) bergambar bersama dua ahli kelab yang mengadakan demonstrasi Muay Thai.

Oleh Rohana Man

 

SHAH ALAM – Keputusan menang atau kalah calon pilihan raya turut bergantung kepada jumlah pengundi yang menetap di luar kawasan tempat membuang undi.

Faktor berpindah ke negeri lain tetapi tidak menukar alamat pusat membuang undi, selain faktor belajar di institusi pengajian tinggi yang terletak di luar kawasan mengundi perlu diberi perhatian calon.

Ini kerana satu undi daripada kumpulan ini boleh mengubah keputusan pilihan raya.

Mohammad Affendi Abdullah, 31, yang kini menetap di Pahang akan pulang ke Shah Alam untuk mengundi.

Katanya, tuntutan tugas sebagai penyelia di Pusat Penyelidikan Pertanian, FGV Agri Services Sdn Bhd, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang menyebabkan beliau berpindah bersama isteri dan anak ke Jengka.

“Saya mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Bukan tiap tahun tetapi lima tahun sekali. Kemenangan calon pilihan bakal menentukan masa depan negara yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada program Ramah Mesra Bersama Team Muay Thai dengan calon Parlimen Shah Alam, Isham Jalil di sini, hari ini.

Dalam program itu, beliau bersama seorang rakan, Muhammad Azrul Afendi,24, mengadakan demonstrasi seni pertahanan diri Muay Thai di Satay Station, Seksyen 9, Shah Alam.

Sehubungan itu, Mohammad Affendi menyeru semua pengundi berdaftar dan berada di luar tempat mengundi supaya pulang demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Rakannya, Muhammad Azrul pula berkata, ini kali pertama beliau akan mengundi dan berasa tidak sabar menunggu tarikh 19 November.

“Saya telahpun membuat keputusan untuk memilih calon parti mana. Pilihan ini dibuat kerana calon berkenaan membuat tawaran yang menarik hati anak muda,” katanya.

Menurutnya, tawaran menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berjaya menarik perhatian golongan muda untuk keluar mengundi.

“Saya sendiri belum mempunyai pekerjaan tetap. Untuk mencari rezeki, saya menawarkan perkhidmatan bekam kepada penduduk Seksyen 24,”katanya.

Mohd Yusof Baharudin, 32,selaku ketua kumpulan Muay Thai pada program tersebut berkata, ahli kumpulan boleh menjalani latihan di gimnasium yang terletak di Setia Alam.

“Gimnasium ini dibuka setiap hari, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam,” katanya sambil memberitahu kelab yang diterajuinya adalah Kelab Rekreasi Wawasan Sejagat Malaysia (KRWS).

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker