Kerajaan yang stabil akan tarik lebih ramai pelancong ke Malaysia

MASJID TANAH – Hanya parti Barisan Nasional (BN) yang sudah ada rekod mentadbir negara sebelum ini yang mampu memberikan kestabilan dalam pemerintahan negara yang amat penting untuk membawa masuk pelabur dan juga pelancong.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis berkata dalam industri pelancongan keadaan sesebuah negara dengan tarikan pelancongan yang stabil dari segi politik dan ekonomi akan berpotensi membawa masuk pelancong.

Beliau berkata industri pelancongan merupakan satu industri yang sangat kompetetif dan sangat sengit kerana hampir semua negara mahu menarik pelancong datang ke negara.

“Kita lihat semua negara ingin menarik lebih ramai lagi pelancong begitu juga dengan negara kita,” katanya ketika ditemui selepas hadir dalam satu program menghargai peserta Homestay Kampung Ayer Limau malam tadi.

Kampung berkenaan baru memenangi Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) kategori Homestay di Kuching pada Majlis Anugerah Emas MTC di sana bulan lepas.

Uzaidi berkata pelancong yang datang ke sesebuah negara memerlukan satu komitmen dari negara itu sendiri untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan stabil.

“Pelancong tidak akan pergi ke negara yang tidak stabil atau sedang berperang, atau negara yang dianggap sebagai negara yang tidak baik.

“Unsur-unsur kestabilan amat penting bagi kita (Malaysia) untuk mendapatkan lebih ramai lagi pelancong.

“Kestabilan ialah satu ramuan yang perlu ada untuk menerima kehadiran pelancong dan saya berharap selepas PRU15 ini kita akan mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya.

Uzaidi berkata kerajaan nanti diharap mampu buat keputusan yang tegas demi mengekalkan kestabilan.

Beliau hadir pada program berkenaan yang diadakan dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau untuk secara simbolik menyerahkan plak anugerah kepada peserta homestay sebagai tanda menghargai usaha mereka.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) Zohaime Muhamad Sori.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker