Fobia dengan perkataan manifesto

TAWARAN Barisan Nasional (BN) melalui PADU paling realistik dalam PRU15.

Oleh Rohana Man

 

SHAH ALAM – Parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat fobia menggunakan perkataan manifesto dalam kempen yang sudahpun berjalan selama sembilan hari.

Perkataan itu tidak lagi digunakan, sebaliknya muncul perkataan baru bagi menarik pengundi menyokong calon parti yang bertanding.

Pemimpin parti mungkin berasa takut dan fobia menggunakan perkataan manifesto selepas mantan Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan manifesto bukan kitab suci, tidak boleh dipercayai dan sekadar janji politik.

Ekoran itu, sebanyak tiga gabungan parti politik yang bertanding dalam PRU15 tidak menggunakan perkataan manifesto bagi menawarkan senarai janji kepada rakyat.

Sesuatu yang menarik apabila buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya di negara ini, perkataan manifesto tidak digunakan semasa pelancaran manifesto parti.

Pilihan raya umum pertama di Malaysia (ketika itu Tanah Melayu) adalah pada 1955.

Pada PRU15 ini,
Barisan Nasional (BN) mengemukakan Pelan Amal dan Usaha (PADU), Pakatan Harapan (PH) menyebut Tawaran Harapan dan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan Tawaran PN Best.

Pemimpin parti mungkin mahu mengambil pengajaran daripada janji-janji yang ditabur PH dalam manifesto PRU14 yang gagal ditunaikan sehingga membangkitkan kemarahan rakyat dan menganggap kerajaan PH selama 22 bulan adalah penipu.

Lebih teruk apabila PH dikecam dengan perkataan jelik termasuk Pakatan Hancing yang begitu popular sekarang.

Pada PRU14 yang lalu, PH menabur janji akan melaksanakan 10 janji dalam tempoh 100 hari, antaranya menghapuskan hutang peneroka Felda, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, menyamaratakan gaji minimum, memansuhkan tol dan pinjaman PTPTN dan menetapkan harga petrol RM1.50 bagi satu liter RON95 serta menurunkan harga barangan.

Menyedari kesilapan lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan PH kali ini, tidak mahu lagi berjanji panjang berjela dengan manifesto melangit seperti PRU14.

“Kita (PH) tak mau panjang-panjang (manifesto), kita tak mau janji melangit lagi,” katanya.

Sementara itu, memetik kenyataan Prof. Madya Dr. Jeniri Amir dalam sebuah akhbar tempatan, katanya, sebahagian besar manifesto PH pada PRU14 tidak dapat ditunaikan kerana tidak realistik, selain janji ditabur hanya untuk memikat hati rakyat.

“Saya fikir mereka (PH) mengambil pengajaran daripada kegagalan itu dengan tidak lagi mengemukakan sesuatu yang sukar dicapai termasuk tidak lagi menetapkan pelaksanaan manifesto dalam tempoh 100 hari dari tarikh menang pilihan raya,” katanya.

Sehubungan itu, Jeniri Amir menyarankan semua pengundi supaya menilai setiap manifesto yang ditawarkan parti-parti yang
bertanding.

“Pengundi perlu melihat semula, adakah perkara yang ditawarkan itu dapat dilaksanakan atau sekadar janji.

“Bagi mana-mana parti politik, manifesto itu harus dianggap sebagai akujanji atau kontrak antara parti dan pengundi. Ia tidak boleh dilihat sebagai kitab suci,”tambahnya.

Sementara itu, PRU15 menyaksikan tawaran BN paling realistik melalui Perancangan Amal dan Usaha (PADU)

BN menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia sekiranya membentuk kerajaan Persekutuan kelak.

Antara teras itu ialah menghapuskan kemiskinan mutlak melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.

Teras lain adalah pengajian tinggi percuma kepada semua individu dari keluarga B40, mengecualikan sepenuhnya cukai pendapatan (0%) selama lima tahun kepada semua wanita yang kembali ke alam pekerjaan setelah berehat daripada kerjaya (career break) dan menyediakan 100 peratus internet di seluruh negara dalam masa 30 bulan dan 100 peratus liputan 5G di semua sekolah dalam 18 bulan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker