Tidak mengaku menipu dengan menyamar bomoh

Seremban: Padah menyamar sebagai bomoh dan memperdayakan seorang wanita sehingga kerugian hampir RM96,000, Mac lalu, seorang pemotong rumput dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mohamad Aizat Ahmad, 24, didakwa terhadap empat pertuduhan menipu, namun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Salleh dan Majistret Norzaliza Tesmin.

Tertuduh didakwa memperdaya wanita berusia 42 tahun ketika berurusan untuk mendapatkan perkhidmatan tradisional atau bomoh yang tidak wujud, dengan memberitahu kononnya boleh menyembuhkan penyakit misteri dihidapi mangsa.

Ia telah mendorong mangsa menyerahkan seutas rantai, seutas gelang tangan, sebentuk cincin dan wang tunai RM4,000 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,362.

Bagi tiga pertuduhan lain, Mohamad Aizat didakwa telah mendorong mangsa memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM80,550 ke dalam akaun bank atas nama KH Motor Spare Spart dan Zul Fameena Marketing.

Semua kesalahan dilakukan di sebuah kedai makan di Senawang pada 19 Mac 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan denda jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang merayu ikat jamin rendah mengambil kira anak guamnya tiada pendapatan tetap dan dalam proses bercerai serta menanggung dua adik.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 terhadap semua pertuduhan dan menetapkan 10 Ogos untuk sebutan semula kes.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker