Anggota tentera dan Polis kumpulan pertama mengundi pos

SEJUMLAH 224,828 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan pertama mengundi pos dalam PRU15 hari ini.

Oleh Rohana Man

 



SHAH ALAM – Anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama bagi menentukan mandat kerajaan pilihan rakyat menerusi proses pengundian awal, hari ini.

Daripada 224,828 pengundi awal terbabit, sebanyak 117,473 adalah anggota tentera dan pasangan, manakala 107,355 adalah anggota polis dan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, kesemua mereka akan mengundi di 578 pusat mengundi awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Menurutnya, pusat mengundi awal dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.



Seperti lazimnya, setiap kali pilihan raya, tanggapan umum adalah anggota tentera dan polis akan memberi undi kepada calon yang bertanding atas tiket parti pemerintah.

Tanggapan itu bersandarkan kepada dakwaan bahawa kerajaan boleh mengetahui mana-mana anggota tentera dan polis memilih parti mana.

Kononnya, nombor siri yang dicatatkan di atas kertas undi menyebabkan golongan itu ‘takut’ untuk mengundi parti lain, selain parti pemerintah.

Tanggapan itu dilihat ada benarnya jika dilihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.



Barisan Nasional (BN) tewas kepada Perikatan Nasional (PN) apabila 17 daripada 18 saluran mengundi dalam kalangan anggota tentera di Sungai Udang dikatakan memihak kepada PN yang ketika itu adalah parti pemerintah.

Namun keadaan sekarang adalah berbeza kerana kerajaan sedia ada adalah kerajaan campuran yang terdiri daripada gabungan pelbagai parti.

Situasi sekarang mungkin menyebabkan anggota tentera dan polis sukar membuat pilihan, sekali gus mencetuskan persaingan sengit antara calon-calon yang bertanding.

Apapun pilihan yang dibuat, pilihlah dengan bijak tanpa mengikut emosi kerana satu undi yang berbeza bakal menentukan siapa bakal terajui negara.



Jika sukar membuat pilihan calon, pilihlah manifesto parti yang realistik, logik dan mampu dilaksanakan.

Tidak dinafikan setakat hari ini, manifesto BN dilihat mampu membawa perubahan besar dalam pembangunan dan kebajikan rakyat menerusi 10 teras Perancangan Amal dan Usaha (PADU).

Ringkasan teras yang akan diberi tumpuan untuk diselesaikan dalam tempoh waktu yang logik adalah seperti berikut:

1. Menghapuskan kemiskinan mutlak melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.



2. Potongan cukai pendapatan sebanyak dua peratus khusus untuk kelompok M40.

3. Mengecualikan cukai pendapatan selama lima tahun kepada wanita yang kembali bekerja.

4. 100 peratus liputan internet di seluruh negara.

5. Pendidikan awal dan asuhan percuma.



6. Sistem persekolahan tanpa buku teks dan pemberian komputer riba percuma kepada pelajar B40.

7. Memperkenalkan subjek coding dan bahasa komunikasi asas seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan bahasa etnik lain di sekolah.

8. Pengajian tinggi percuma kepada anak keluarga B40.

9. Akta melindungi hak, kebajikan dan pendapatan pekerja gig.

10. Menghapuskan permit import (AP) kenderaan elektrik (EV) bagi meningkatkan akses kepada penggunaan kenderaan mesra alam mampu milik.

Kesemua teras manifesto BN itu bukan sahaja realistik, tetapi mampu dilaksanakan.

Tidak seperti manifesto parti lawan yang indah khabar dari rupa, tidak realistik dan lebih kepada perjuangan mengangkat individu untuk menjadi Perdana Menteri.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button