Cukai PH terlalu tinggi, faktor harga rumah melambung



ISHAM JALIL ketika menyampaikan ceramah umum di Seksyen 7 malam tadi.

Oleh Rohana Man

SHAH ALAM – Harga rumah yang melonjak tinggi menyebabkan golongan muda tidak mampu membeli kediaman di bandar raya Shah Alam apabila purata harga sebuah rumah mencecah lebih RM600,000.

Antara punca yang mendorong pihak pemaju menaikkan harga rumah adalah kos bahan binaan yang semakin tinggi ekoran kemerosotan nilai mata wang Ringgit di pasaran dunia.



Nilai Ringgit semakin jatuh kerana pelabur asing berasa takut untuk membuat pelaburan di Malaysia kerana suasana politik yang tidak stabil.

Kos pembinaan meningkat berlipat kali ganda kerana bahan binaan seperti keluli diimport dari luar negara yang mana urus niaga melibatkan mata wang dollar Amerika Syarikat, sedangkan nilai mata wang Ringgit semakin jatuh.

Selain faktor tersebut, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengutip cukai sehingga enam kali ganda lebih tinggi daripada kutipan kerajaan Barisan Nasional (BN) turut menyebabkan kenaikan harga rumah.

Faktor itu turut dikenal pasti sebagai antara punca kenaikan harga rumah yang melampau di Shah Alam.



Calon BN Parlimen Shah Alam, Isham Jalil ketika berucap dalam ceramah umum di Seksyen 7 malam tadi berkata, ketika BN memerintah negeri Selangor, kutipan tahunan cukai adalah sekitar RM500 juta sahaja, berbanding RM3 bilion yang dikutip kerajaan PH.

“Bila naik cukai enam kali ganda, sampai RM3 bilion yang datang dari cukai pembangunan, cukai rumah, cukai tanah dan cukai pintu, maka harga rumah terpaksa dinaikkan.

“Saya dah bawa perkara ini enam tahun lalu, tetapi tiada tindakan. Bila cukai yang dibayar pemaju tinggi, maka harga rumah pun tinggi.

“Masa sesi walkabout, saya sempat berbual dengan seorang perunding hartanah ketika beliau sedang makan di sebuah restoran.



“Saya tanya berapa harga rumah sekarang di Shah Alam.

“Dia cakap…, purata harga rumah di Shah Alam sekarang adalah RM680,000.

“Di Setia Alam, purata harga rumah adalah RM800,000.

“Siapa mampu beli rumah harga RM680,000, rumah harga RM800,000?.Anak muda mampu tak?,” soalnya dalam ceramah umum tersebut.



Walaupun pada permulaan ceramah, hujan agak lebat namun, orang ramai tidak berganjak dari kerusi yang disediakan di bawah khemah di padang permainan JMB Blok 1-7, Seksyen 7.

Isham Jalil berkata, jika anak muda mahu membeli rumah berharga RM680,000, gaji bulanan mereka mestilah kira-kira RM11,000 sebulan, manakala untuk memiliki rumah berharga RM800,000, gaji yang diperoleh mestilah sekitar RM15,000 hingga RM16,000 sebulan.

“Siapa yang ada gaji sebanyak itu.

“Nampaknya, makin lama makin kita tak mampu nak beli rumah di sini (Shah Alam).

“Sebab mereka (PH) kutip cukai RM3 bilion, mungkin tahun depan, mereka kutip RM4 bilion setahun.

“Kutip…kutip.., tapi masalah air dan parit tak selesai.

“Harga rumah pula mahal,” ujarnya yang merayu warga Shah Alam menolak parti selain BN dengan mengundi beliau.

Beliau juga berkata, apabila harga rumah mahal maka sewa kedai turut meningkat seiring kenaikan harga rumah.

“Sebab itu, saya cakap, harga dan kos sebotol air mineral di sini (Shah Alam) lebih mahal berbanding di Gombak atau Kuantan.

“Sebabnya, peniaga nak bayar sewa kedai yang mahal,” katanya.

Sehubungan itu, Isham Jalil mengajak pengundi Shah Alam memberi undi kepadanya pada 19 November ini agar beliau berpeluang menyelesaikan segala masalah setempat yang membelenggu penduduk sekarang.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker