Harapan lihat Inara membesar sihat

Kuala Lumpur: Kegembiraan ibu bapa menyambut kelahiran anak kedua selepas kehilangan anak pertama bertukar suram apabila bayi mereka disahkan menghidap penyakit jantung.

Bagaimanapun, Che Muhammad Azri Che Noordin, 26, dan Syafiqah Walmasri, 23, tetap mengharapkan anak kesayangan mereka, Che Nur Ayesha Inara pulih dan membesar dengan sihat.

Che Nur Ayesha Inara berusia tiga bulan menghidap ‘transposition Great arteries’ (TGA) atau injap jantung terbalik dan perlu menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles, dengan anggaran kos RM120,000.

Syafiqah berkata, dia dan suami gembira apabila disahkan mengandung anak kedua selepas anak sulung meninggal dunia kerana kelahiran pramatang.

Katanya, Che Nur Ayesha Inara dilahirkan secara normal pada usia kandungan 38 minggu.

“Selepas dilahirkan, Inara alami jaundis (kuning) dan kami kerap berulang-alik ke Hospital Banting untuk pemeriksaan susulan.

“Pada usianya dua bulan setengah, tangan dan kuku Inara tiba-tiba kebiruan dan semasa pemeriksaan di hospital, doktor mendapati kandungan oksigennya berkurangan.

“Inara segera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari sebelum dirujuk ke Hospital Gleaneagles,” katanya kepada Harian Metro.

Syafiqah berkata, doktor mengesahkan saluran jantung Inara terbalik dan memerlukan pembedahan segera.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja, manakala suaminya bekerja sebagai juruteknik kilang dengan pendapatan RM3,000 sebulan, tidak mampu untuk menampung kos pembedahan anak mereka.

“Saya amat mengharapkan bantuan daripada orang ramai untuk menyumbang dan Inara boleh dibedah seterusnya dapat meneruskan hidup seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit yang boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27248955 untuk sebarang pengesahan.

Penyumbang Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP turut layak mendapat pelepasan cukai.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker