Pelabur pasaran saham ‘tunggu dan lihat’ keputusan PRU15



KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI dijangka berada dalam dagangan turun naik yang tidak menentu menjelang cuti hujung minggu yang panjang susulan hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Ng Jun Sheng, berkata FBM KLCI dijangka berlegar pada paras rintangan antara 1,469 hingga 1,500 mata sementara paras sokongan pula sekitar 1,408 hingga 1,436 mata sebelum hari pembuangan undi, Sabtu ini.

Beliau seterusnya berkata, indeks dijangka kekal turun naik tidak menentu berikutan peserta pasaran bersikap berhati-hati dengan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

“Ia berikutan peningkatan ketidakpastian keputusan PRU15 diburukkan lagi oleh pakatan berpecah-belah yang membawa kepada pertembungan pelbagai penjuru, ditambah dengan peningkatan 40 peratus pengundi berdaftar sejak PRU14 kepada lebih 21 juta orang pengundi.



“Peningkatan jumlah pengundi itu berpunca daripada Undi 18 yang menurunkan umur mengundi kepada 18 daripada 21 dan pendaftaran pengundi automatik,” katanya.

Bursa Malaysia Bhd telah mengumumkan bahawa pasaran saham tempatan akan ditutup Jumaat ini sempena cuti khas yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Operasi dagangan Bursa Malaysia akan dibuka semula pada Isnin depan iaitu 21 November 2022.

Dari segi saham, Jun Sheng berkata HLIB Research menyukai CTOS dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran ialah RM1.70 berikutan kedudukan kepimpinannya dan model perniagaan yang sangat berskala.



Sementara itu, beliau berkata, peningkatan dalam aktiviti ekonomi adalah baik untuk CTOS memandangkan volum kredit dan transaksi perdagangan yang lebih kukuh.

“Secara teknikal, saham itu sepatutnya menarik pembeli pada kelemahan selanjutnya, dengan kenaikan di atas paras RM1.44.

“Menyasarkan RM1.50 dan RM1.62 menuju ke depan, manakala penurunan adalah terhad pada RM1.32 dan RM1.27,” katanya.

Indeks FBM KLCI tidak menjejaki prestasi pasaran serantau sejak beberapa hari kebelakangan ini, apabila penanda aras itu merekodkan penurunan selama tiga hari berturut-turut sejak Isnin selepas mencatatkan peningkatan memberangsangkan sepanjang minggu lalu.



Pada Selasa, FBM KLCI menjunam 13.5 mata kepada 1,450.50 mata dengan 27 daripada 37 komponen saham utamanya berakhir negatif, dijejaskan oleh ketidaktentuan berhubung PRU15 yang semakin meningkat.

Dari segi aliran dana, pelabur asing adalah penjual utama dengan jualan bersih sebanyak RM185 juta selepas merekodkan sesi belian bersih tujuh sesi berturut-turut.

Bagaimanapun, institusi tempatan dan pelabur runcit menjadi pembeli bersih saham tempatan dengan masing-masing berjumlah RM150 juta dan RM35 juta.

Lebih 21 juta pengundi akan menjalankan tanggungjawab pada Sabtu ini untuk memilih kerajaan baharu mentadbir Malaysia.



Dengan kira-kira 940 calon meninjau peluang untuk memenangi 222 kerusi Parlimen, masih belum ada petunjuk jelas tiga gabungan parti politik utama yang berpeluang membentuk kerajaan seterusnya.

Menambahkan lagi ketidaktentuan kali ini, jutaan pengundi muda baharu akan menjalankan tanggungjawab buat kali pertama.

Keputusan PRU15 akan menentukan hala tuju pelabur global yang berterusan menjadi penjual bersih saham-saham tempatan sejak kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) semasa PRU14 empat tahun lalu, yang menjerumuskan negara ini ke kancah ketidaktentuan politik berpanjangan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker