Pendapatan syarikat perladangan sawit dijangka merosot

KUALA LUMPUR: Kebanyakan syarikat perladangan dijangka mencatatkan penurunan pendapatan dalam sektor huluan berbanding setahun lalu ekoran pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan harga sawit yang lebih rendah selain pengenaan Cukai Makmur.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei, berkata jangkaan penurunan hasil itu juga disebabkan peningkatan kos pengeluaran terutama disebabkan kesan kenaikan gaji minimum di Malaysia dan harga baja yang lebih tinggi.

“Penanam kelapa sawit berdepan pendedahan terhadap operasi huluan di Indonesia yang berkemungkinan akan lebih baik berbanding di Malaysia, memandangkan perubahan dalam struktur levi eksport dan kemungkinan pengeluaran BTS yang lebih tinggi.



“Bagi peserta bersepadu, harga bahan mentah yang tidak menentu, ditambah dengan kos pengangkutan yang tinggi berkemungkinan akan menjejaskan keuntungan pada segmen hiliran,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Wen Fei berkata, HLIB Research bagaimanapun mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) tahun ini kepada RM5,050 satu tan; RM4,000 satu tan (2023) dan RM3,800 satu tan (2024).

“Kami percaya harga MSM akan kekal pada paras melebihi RM4,000 satu tan dalam beberapa bulan akan datang dan mungkin sehingga suku pertama 2023, sebelum mula menurun dari suku kedua dan seterusnya.

“Ia disebabkan keterlihatan bekalan yang lebih baik untuk minyak sayuran yang timbul daripada isu pengurangan buruh yang semakin kekurangan di Malaysia dan ketiadaan anomali cuaca; peningkatan risiko kemelesetan global; dan inventori yang dibina di negara pengimport utama minyak sawit.



“Justeru, kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor ini, disokong oleh penilaian yang memberangsangkan dan harga MSM jangka pendek yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang berkata, firma penyelidik itu menjangkakan stok minyak sawit stok minyak sawit meningkat 2.6 peratus bulan ke bulan kepada kemuncak berpotensi kepada 2.46 juta tan menjelang akhir bulan ini.

“Kami mengurangkan ramalan harga purata MSM untuk 2022 kepada RM5,122/tan (daripada RM5,600/tan) tetapi mengekalkan ramalan harga purata MSM 2023 pada RM3,800/tan.

“Pengurangan ini adalah mencerminkan kejatuhan harga MSM yang lebih drastik daripada jangkaan pada suku ketiga 2022, apabila Indonesia secara agresif meningkatkan eksport untuk membersihkan stok minyak sawit dan kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang lebih perlahan. Harga semakan kami mengandaikan harga MSM pada purata RM4,000/tan pada November hingga Disember tahun ini.



“CGS-CIMB menjangkakan harga saham syarikat perladangan kekal dalam julatnya jika tiada pemangkin. Bagaimanapun, risiko penurunan untuk penanam ini boleh dikurangkan oleh hasil dividen sektor sebanyak 5.5 peratus dan penilaian P/E rendah sebanyak 8.6x untuk 2022,” katanya dalam satu nota berasingan.

Lee Fang berkata, harga MSM pada RM3,990 satu tan mengimbangi kenaikan pengeluaran 13.5 peratus suku ke suku dan 2.7 peratus tahun ke tahun oleh ladang di Malaysia pada suku ketiga tahun ini.

Katanya, ia ditambah dengan kos operasi yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum di Malaysia kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei 2022, kos baja yang lebih tinggi, serta Cukai Makmur yang berkemungkinan menjejaskan pendapatan suku ketiga syarikat perladangan.

“Pengeluaran minyak sawit Malaysia berada pada 1.81 juta tan pada Oktober, iaitu kekal di bawah paras potensinya kerana ia lebih rendah daripada pengeluaran purata dalam sejarah 10 tahun sejarah untuk Oktober sebanyak 1.85 juta tan. Kami percaya ini disebabkan oleh kekurangan pekerja asing,” katanya.



Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, statistik kelulusan kuota dan pembayaran levi pekerja asing setakat 12 September menunjukkan kuota diluluskan sebanyak 467,223.

Bagaimanapun, Malaysia merekodkan 76,000 kemasukan buruh atau 16 peratus daripada kuota yang diluluskan dari 12 negara untuk tempoh yang sama.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button