Perang psikologi tarik sokongan

KUALA NERANG: Dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya Pakatan Harapan (PH) semakin menghampiri 100 kerusi Parlimen untuk dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya lah sekadar perang psikologi untuk menarik sokongan pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata perkara itu bukan satu perkara asing bagi parti pembangkang yang membuat perkiraan berdasarkan potensi kawasan untuk parti mereka menang.

“Bagi saya apa yang Rafizi cakap itu hanya perang psikologi semata-mata. Kita pun Barisan Nasional (BN) kita pun buat kiraan juga, di mana parti kita menang dan di mana parti kita tak menang.



“Yang tak menang kita kata tak menanglah tempat itu. Tapi ada tempat yang kita boleh menang, jadi kiraan kita alhamdulillah BN pun seperti mana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebut, insya-Allah BN boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas walkabout@Kolej MARA, di sini hari ini.

Kelmarin Rafizi dilaporkan mendakwa PH kini menghampiri untuk memenangi 100 kerusi Parlimen ketika kempen PRU15 berbaki empat hari.

Rafizi berkata, PH turut berkeyakinan mencatat kemenangan besar di keempat-empat negeri kubu kuat mereka iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Mahdzir yang juga calon dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, mencadangkan agar panggilan Yang Berhormat (YB) bagi merujuk kepada wakil rakyat negara ini ditukar kepada ‘Yang Berkhidmat’ seiring dengan dengan peranan mereka.



Katanya, panggilan itu akan memberi lebih kesedaran kepada setiap wakil rakyat tentang amanah yang dipikul mereka.

“Panggilan ‘Yang Berkhidmat’ itu lebih tepat bagi menggambarkan rekod perkhidmatan setiap wakil rakyat. Jika perkara itu dilaksanakan, orang ramai juga boleh menjustifikasikan seseorang wakil rakyat tersebut dengan panggilan ‘Yang Berkhidmat’ yang disandang individu berkenaan.

“Yang berkhidmat ini perlu sedar bahawa mereka memiliki dua tugas untuk dilaksanakan iaitu membuat dasar di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memberi khidmat kepada rakyat. Jadi dalam tempoh lima tahun itu, rakyat bolehlah menilai sama ada ‘Yang berkhidmat’ itu benar-benar berkhidmat di kawasan mereka,” katanya.

BHOnline



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button