Tak sampai sebulan, sudah diserbu polis

Kuala Lumpur: Tidak sampai sebulan beroperasi, kegiatan satu sindiket penipuan pelaburan Bitcoin dalam talian terbongkar dalam serbuan dilakukan polis di sebuah premis di Jalan Kerinchi, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dengan dibantu oleh Bahagian Risikan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta Pakar Analisa Media Sosial, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia (JSM) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lima lelaki termasuk seorang warga China dan tiga wanita tempatan berusia antara 19 hingga 33 tahun ditahan dalam serbuan itu.

“Kami turut merampas lapan komputer riba, 16 telefon bimbit pelbagai jenama, satu modem dan satu router (penghala) yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.



“Semakan dilakukan pakar mendapati terdapat unsur-unsur penipuan dalam talian membabitkan pelaburan Bitcoin dengan sindiket itu menggunakan saluran internet tempatan sebagai akses internet,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, kegiatan penipuan dilakukan sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan mangsa dari Jepun.

“Semua suspek terbabit sudah bekerja antara tiga hari hingga dua minggu selepas mendapat tawaran kerja berkenaan melalui Facebook.

“Mereka yang ditahan berkenaan adalah pekerja sindiket terbabit yang menerima bayaran gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.



“Mereka juga diberikan komisen tiga hingga lima peratus dari keseluruhan kutipan yang berjaya dibuat dalam tempoh sebulan dengan gaji diberikan seorang lelaki tempatan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak pertengahan bulan ini.

“Semua suspek akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang tidak jelas dan menjanjikan pulangan wang lumayan.

“Buat semakan dengan agensi atau bank berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan dan jangan mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu tidak dikenali,” katanya.

Katanya, buat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

“Sila laporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkaitan sindiket penipuan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker