Afif bidas calon PH lapuk

DR. Afif Bahardin membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi sebagai pemain politik berhati busuk.

Oleh Azrin Muhammad

SHAH ALAM – Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Afif Bahardin membidas kesemua ahli politik Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Shah Alam sebagai pemain politik lapuk dan bergelumang hasad dengki.



Menurut Afif, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menyerangnya dengan pelbagai tohmahan selepas mempersoalkan keadaan terkini Kem Rejimen 502 Askar Wataniah yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam.

“Baru-baru ini, saya berkunjung ke kem askar di Seksyen 16 untuk melihat proses undi awal, saya terlihat keadaan salah satu bangunan yang telah uzur.

“Saya muatnaik gambar berkenaan di akaun Twitter saya dan mula tular,” katanya ketika berucap di Seksyen 9, di sini, semalam.

Afif memberi tahu Najwan yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shah Alam mula membuat serangan peribadi terhadapnya menerusi media sosial terutama mengenai soal pemecatan daripada parti tersebut.



Tambahnya, Najwan mengamalkan strategi lapuk dan berhati busuk kerana sanggup memburuk-burukkan dirinya selepas membongkar kelemahan PH memerintah Selangor untuk tempoh masa yang panjang sebelum ini.

“Najwan pernah tunjuk di Facebook yang beliau bangga menjadi salah seorang Askar Wataniah tetapi apa yang beliau lakukan selama ini sehingga tidak ambil tahu keadaan kem askar di Shah Alam.

“Saya telah membongkar perkara ini hingga ke peringkat Menteri Besar, baru saya tahu kem askar berkenaan menghadapi masalah pemilikan tanah sejak sekian lama,” katanya.

Katanya lagi, pengundi Shah Alam boleh menilai sendiri kewibawaan pemimpin PKR mentadbir Selangor dan pastikan PH tidak diberikan peluang untuk mengulangi kesilapan sama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button