Masalah dalaman parti punca kekecohan di Tanah Merah

Kota Bharu: Polis Kelantan mengesahkan berlakunya kekecohan di Tanah Merah disebabkan masalah dalam kalangan ahli dan penyokong sebuah parti.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bagaimanapun kejadian terbabit tidak ada kaitan dengan proses pembuangan undi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung hari ini.

“Terdahulu, tular di media sosial di Parlimen Tanah Merah. Pihak polis mengesahkan kejadian itu tidak ada kaitan dengan proses pembuangan undi.



“Apa yang berlaku adalah masalah dalaman parti atau individu tertentu dengan penyokongnya, dan ia tidak berlaku di premis yang terbabit dengan proses pilihan raya.

“Bagaimanapun, pihak polis dalam menentukan keamanan dan ketenteraman awam bukan sahaja melihat kepada proses pilihan raya tetapi keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya terdapat apa-apa yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam, pihak polis akan bertindak bagi mengelakkan perkara yang pincang.

“Hasil tindakan awal daripada pihak polis dan perbincangan sesama mereka, perkara terbabit sudah diselesaikan,” katanya.



Terdahulu, tular beberapa gambar dan video di media sosial yang mendakwa berlaku kekecohan dalam kalangan pengundi luar di Parlimen Tanah Merah dan dipercayai ada yang pengsan ketika mereka menunggu giliran untuk mengambil duit yang dijanjikan.

Selain itu, kelihatan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sedang berkawal di lokasi.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button