Polis Labuan larang perarakan rai kemenangan calon

LABUAN: Polis Labuan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menganjurkan atau menyertai mana-mana perarakan bagi meraikan calon yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata keputusan itu dibuat demi menjamin keselamatan awam.

“Sama ada di kampung, kawasan perumahan atau di pusat bandar, kita tidak akan membenarkan sebarang perarakan meraikan kemenangan calon selepas pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).



“Kami tidak akan meluluskan sebarang permohonan daripada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perarakan sedemikian. Kami memahami bahawa secara tradisinya, penyokong akan menganjurkan perarakan untuk meraikan calon yang menang.

“Namun, terdapat risiko serius jika keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya kepada pemberita selepas melawat 19 pusat mengundi di sini hari ini.

Ahmad Jawila turut menasihati supaya kemenangan calon diraikan tanpa minum minuman keras.

“Polis akan memantau kumpulan terlibat untuk memastikan tiada keganasan berlaku… jika sambutan tidak terkawal, maka polis akan campur tangan,” katanya.



Ahmad Jawila turut menyeru semua penyokong dan calon supaya menerima keputusan pilihan raya seperti yang diisytiharkan oleh SPR.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button