Tiga beranak maut, tiga lagi cedera



KUANTAN: Tiga beranak maut, manakala tiga lagi cedera selepas pikap dinaiki keluarga itu terbabit nahas di Kilometer 200.5 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, di sini hari ini.

Mangsa yang maut pasangan suami isteri, Mohamad Shafiq Zailani, 33, dan Faeiznoor Mansor, 32, meninggal dunia di tempat kejadian.

Bayi lelaki pasangan itu yang berusia 10 bulan, Daryan Marwa meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Tiga anak mangsa yang terselamat, Mohamad Danish Uqasha, 9, Dhia Medina, 5, dan Damiaa Melissa, 2.



Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah pikap Ford Ranger kira-kira jam 4 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati pikap dipandu Mohamad Shafiq dari arah bandar Jengka, Maran menghala ke Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan.

“Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayi lelaki berusia 10 bulan disahkan meninggal dunia di HTAA, Kuantan.

“Tiga lagi anak pasangan yang cedera dibawa ambulans ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, di sini dikejarkan ke lokasi kemalangan.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker